VCI Global mulakan proses dwi penyenaraian sahamnya di Upstream | DagangNews Skip to main content

VCI Global mulakan proses dwi penyenaraian sahamnya di Upstream

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Mei - VCI Global Limited hari ini mengumumkan bahawa mereka telah memulakan proses permohonan dwi penyenaraian sahamnya di Upstream iaitu aplikasi perdagangan untuk sekuriti digital dan NFT yang dikuasakan oleh Horizon Fintex (Horizon) serta MERJ Exchange Limited (MERJ).

 

Penyenaraian di Upstream direka untuk menyediakan VCI Global peluang mengakses pangkalan pelabur global yang mengutamakan digital yang boleh berdagang menggunakan mata wang digital USDC bersama-sama kredit, debit, PayPal dan dolar Amerika Syarikat (AS) selain membuka kunci kecairan serta  meluaskan peluang melabur dalam kumpulan yang tersenarai NASDAQ.

 

Pengerusi dan Pengarah Kumpulan VCI Global, Datuk Victor Hoo berkata, penyenaraian di Upstream itu antara lain bertujuan membina nilai bagi pemegang saham dan meningkatkan kecairan sentiasa menjadi keutamaan bagi pihaknya.

 

"Kami percaya dwi penyenaraian di Upstream akan bertindak sebagai pemangkin yang sangat baik untuk memasuki pasaran antarabangsa yang belum diterokai selain pemegang saham baharu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kelulusan untuk penyenaraian di Upstream adalah tertakluk kepada penerimaan oleh MERJ.

 

Bagaimanapun, sebagai syarikat tersenarai di NASDAQ, VCI Global mungkin layak untuk mempercepatkan proses penyenaraian. - DagangNews.com