KUALA LUMPUR 8 Nov - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan Velesto Energy Bhd. akan kembali mencatat untung pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22) setelah merekodkan prestasi lemah pada separuh pertama.
Ini berikutan kumpulan semalam meraih kontrak bernilai AS$135 juta (RM640 juta) daripada Hess Exploration and Production Malaysia BV yang akan menyaksikan kadar penggunaan pelantarnya pada separuh kedua terus meningkat.
Kontrak tersebut membabitkan penyediaan perkhidmatan pelantar, penggerudian dan penyiapan bersepadu (I-RDC) bagi pembangunan penuh lapangan Lembangan Melayu Utara 2022 hingga 2024.
Menurut HLIB, dengan perolehan tersebut, semua pelantar Velesto akan digunakan dan disewa sehingga sekurang-kurangnya akhir 2022.
"Kami dapati kerja-kerja bagi projek ini dijangka bermula pada suku keempat ini untuk tempoh anggaran kira-kira 18 bulan.
"Oleh itu, kami agak positif dengan peroleh ini kerana ia akan memastikan pelantar Naga 5 Velesto diduduki sehingga pertengahan April 2024," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dalam pengumuman semalam, penyedia perkhidmatan penggerudian luar pesisir minyak dan gas (O&G) berkata, kontrak itu membabitkan penyediaan perkhidmatan pelantar, penggerudian dan penyiapan bersepadu (I-RDC) bagi pembangunan penuh lapangan Lembangan Melayu Utara 2022 hingga 2024.
Ia akan menyediakan perkhidmatan I-RDC meliputi 14 telaga dengan jangkaan tarikh bermula pada suku keempat 2022.
Velesto akan memperuntukkan pelantar jenis 'jack-up' Naga 5 bagi kontrak berkenaan. Naga 5 ialah pelantar penggerudian jenis 'jack-up' bicu julur tapak bebas premium yang mempunyai keupayaan kedalaman penggerudian 30,000 kaki dan kadar operasi dengan kedalaman air 400 kaki.
HLIB menganggarkan kadar sewaan harian (DCR) bagi kontrak itu adalah sekitar AS$70,000 hingga AS$75,000.
Firma itu mendapati pelantar Naga 2 Velesto akan digunakan sehingga suku pertama 2023 diikuti Naga 3 (suku keempat 2023), Naga 4 (suku pertama 2023, akan menjalani kerja-kerja naik taraf sehingga suku kedua 2023), Naga 6 (sehingga akhir 2022 oleh Petronas Carigali) dan Naga 8 (sehingga suku pertama 2024 oleh syarikat operasi Petronas Carigali-Hess).
"Berdasarkan jadual penggunaan pelantar ini, kami optimis dan percaya Velesto sekurang-kurangnya akan mencapai pulang modal pada suku ketiga, sebelum kembali mencatat keuntungan pada suku keempat memandangkan kesemua pelantarnya digunakan sehingga akhir tahun ini," jelasnya.
Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap Velesto dengan harga sasaran pada 15 sen.
Setakat 9.35 pagi, harga saham Velesto menokok 0.5 sen atau 3.85% kepada 13.5 sen dengan 20.46 juta saham diniagakan. - DagangNews.com