KUALA LUMPUR 23 Ogos - Velesto Energy Bhd. dijangka mencatat kerugian sebanyak RM42 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022, hampir menyamai kerugian yang direkodkan pada suku pertama sebanyak RM46 juta.
Penganalisis CGS-CIMB, Raymond Yap mendapati kadar penggunaan jack-up mencecah 41% pada suku kedua berdasarkan kontrak penggerudian Velesto, tidak jauh berbeza dengan kadar penggunaan 39% pada suku pertama.
Katanya, kadar penggunaan yang lemah, di sebalik harga minyak yang kukuh, pada asasnya disebabkan dua faktor utama.
"Pertama, peningkatan perbelanjaan modal (capex) di peringkat tempatan tertangguh dengan keputusan Petronas pada akhir tahun lalu, apabila ia merancang untuk menggunakan sembilan pelantar jack-up pada 2022 di bawah program penggerudian seperti diumumkan dalam Prospek Aktiviti Petronas 2022-2024.
"Keduanya, Velesto menghantar dua pelantarnya, iaitu Naga 5 dan Naga 6, ke limbungan kapal untuk kerja-kerja menaik taraf untuk menggabungkan keupayaan 'offline'," katanya dalam nota kajian hari ini
Naga 5 dihantar ke limbungan pada awal Mac hingga akhir Jun 2022 manakala Naga 6 dihantar pada awal Mei hingga Ogos 2022.
Walaupun kedua-dua pelantar jack-up berkenaan telah menyelesaikan peningkatan 'offline', ia tidak beroperasi sekurang-kurangnya selama setengah tahun.
Pada suku pertama, Velesto merekodkan kerugian bersih sebanyak RM46.2 juta, lebih rendah daripada kerugian RM60.47 juta yang direkodkan tempoh sama tahun sebelumnya.
Pendapatan pada suku berkenaan bagaimanapun meningkat 76.22% kepada RM77.41 juta daripada RM43.93 juta, terutamanya disebabkan aktiviti segmen penggerudian yang lebih tinggi, meningkat 82% tahun ke tahun kepada RM74.19 juta berikutan purata kadar penggunaan jack-up yang lebih tinggi.
Namun, Yap berkata, situasi pada separuh kedua 2022 berkemungkinan lebih baik kerana Velesto dijangka mencapai kadar penggunaan yang lebih tinggi sebanyak 78% pada suku ketiga manakala 95% pada suku keempat.
Katanya, ramalan lonjakan dalam kadar penggunaan, daripada purata separuh pertama hanya 40%, terutama disebabkan kontrak penggerudian baharu yang diperoleh untuk Naga 5 dan Naga 6 yang memulakan kerja pada Julai atau Ogos 2022 selepas naik taraf ‘offline’.
"Menurut Velesto, berita baiknya, berikutan naik taraf itu, kedua-dua Naga 5 dan Naga 6 akan menguasai kadar sewa harian (DCR) hampir AS$80,000 sehari, daripada sekitar AS$72,000 sehari sebelumnya.
"Oleh itu, kami menjangkakan Velesto akan merekodkan keuntungan bersih teras sebanyak RM50 juta pada separuh kedua berbanding kerugian bersih teras sebanyak RM88 juta pada separuh pertama, menjadikan kerugian tahunan kepada RM38 juta," jelasnya.
Beliau juga menjangkakan prospek Velesto akan bertambah baik pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) dengan merekodkan keuntungan bersih teras sebanyak RM63 juta.
"Velesto merancang untuk menaiktaraf Naga 3 dan Naga 4 sejajar dengan keupayaan 'offline' supaya ia boleh menikmati struktur DCR yang lebih tinggi pada tahun hadapan.
"Ini memandangkan empat daripada enam pelantar jack-up Velesto akan memiliki kemampuan 'offline'," katanya.
Berdasarkan faktor ini, CGS-CIMB menyemak naik penarafan Velesto kepada 'tambah' berbanding 'pegang' sebelum ini dengan harga sasaran tidak berubah pada 11.5 sen.
Setakat 11.05 pagi, harga saham Velesto kekal tidak berubah pada 8 sen dengan 3.01 juta saham diniagakan. - DagangNews.com