Vendfun perkenal kios F&B tawar sistem pesanan layan diri untuk restoran | DagangNews Skip to main content

Vendfun perkenal kios F&B tawar sistem pesanan layan diri untuk restoran

Benny Wee bersama kios F&B dan robot penghantar makanan dan minuman Vendfun
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Sept - Vendfun melancarkan kios makanan dan minuman (F&B) yang dilengkapi sistem pesanan layan diri untuk restoran, kafeteria dan medan selera. 

 

Kios F&B yang mempunyai perisian “point-of-sale” atau POS, menyokong operasi pesanan pandu masuk, pesanan melalui kod QR di meja makan dan pesanan secara 'dine-in'. 

 

Kios tersebut dapat membantu pemilik perniagaan menguruskan kedai dengan lebih cekap menggunakan automasi. Sementara itu, ia memudahkan pelanggan mengakses menu digital, menyesuaikan pesanan secara peribadi dan membuat pembayaran yang selamat terus ke dalam sistem - semua tanpa sentuh.   

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Vendfun, Benny Wee berkata, kedai-kedai makan yang cuba bangkit semula selepas terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 berdepan pelbagai masalah. 

 

"Salah satu perjuangan terbesar yang dihadapi kebanyakan mereka sekarang ialah kesukaran untuk mengambil pekerja sepenuh masa untuk tugasan bahagian hadapan. 

 

"F&B Kiosk Vendfun boleh membantu meringankan beban ini dan banyak lagi, menggunakan penyelesaian automatik. Selain itu, kami teruja untuk bekerjasama dengan Dolce Mart untuk membantu kami mengembangkan penggunaan automasi dalam kalangan pengendali kedai makan tempatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, Vendfun mengumumkan memorandum persefahaman (MoU) dengan Dolce Mart PLT dari Melaka, yang diadakan pada 9 September 2022 semasa Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2022 (FIM 2022) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

 

 

vendfun

 

 

Dalam kerjasama ini, Dolce Mart bertanggungjawab untuk melatih pelanggan Vendfun tentang cara mengautomasikan operasi bahagian hadapan menggunakan kiosk F&B daripada Vendfun dan restoran kendaliannya juga dibenarkan menggunakan kios tersebut untuk misi sama. 

 

Sebelum ini, Vendfun telah berjaya menjalankan percubaan kios baharu ini di Restoran Jumble Makanan Laut Cengkerang yang dikendalikan Dolce Mart.

 

 

vendfun
Benny Wee dan Noor Alisa Ann Md Samian ketika majlis pemeteraian MoU antara Vendfun dan Dolce Mart pada Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2022 (FIM 2022), pada 9 September 2022.

 

 

Restoran yang dahulunya bergantung kepada 15 kakitangan barisan hadapan itu mampu berjalan lancar walaupun hanya mempunyai lima kakitangan selepas mereka memasang tiga kios pesanan diri daripada Vendfun. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Dolce Mart, Noor Alisa Ann Md Samian berkata, mereka teruja untuk bekerjasama dengan Vendfun untuk pasaran kedai makan. 

 

"Sebagai pengendali restoran, kami memahami cabaran-cabaran pemilik restoran dengan isu tenaga kerja. Penyelesaian daripada Vendfun boleh mengautomasikan operasi bahagian hadapan kami dan kemudahan yang minimum," katanya. - DagangNews.com