VentureTECH labur RM10 juta dalam syarikat penyedia dan penyelesaian kenderaan kawalan jauh bawah air, SS Rover | DagangNews Skip to main content

VentureTECH labur RM10 juta dalam syarikat penyedia dan penyelesaian kenderaan kawalan jauh bawah air, SS Rover

VentureTECH dan SS Rover menandatangani perjanjian pelaburan pembangunan sistem teleoperasi termaju dan armada kembar digital bersepadu SS Rover.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Julai  -  VentureTECH Sdn Bhd melakukan pelaburan strategik sebanyak RM10 juta dalam SS Rover Sdn Bhd, penyedia dan penyelesaian kenderaan kawalan (ROV) bawah air.

 

Usaha sama tersebut akan mempercepatkan pembangunan dan penggunaan sistem teleoperasi canggih SS Rover, sistem armada kembar digital bersepadu serta mengubah landskap operasi bawah air.

 

SS Rover merupakan syarikat teknologi Malaysia mengkhusus dalam perkhidmatan kejutueraan, dan rumusan robotik bagi sektor minyak dan gas luar pesisir, tenaga, telekomunikasi dan infrastruktur awam bawah laut.

 

Dengan pengalaman lebih daripada 15 tahun dalam ROV bawah air dan latihan sistem robotik, syarikat itu merupakan pakar dalam TVET, MRO (pembaharuan) dan operasi lapangan luar pesisir.

 

Dalam kenyataan media, VentureTECH berkata, pelaburan itu bakal memacu pertumbuhan dan inovasi SS Rover dengan menyokong perkakasan ROV, pembangunan sistem, modal kerja dan inisiatif pembangunan perniagaan.

 

Katanya, kerjasama strategik itu akan memperkasakan SS Rover untuk memperhalusi sistem teleoperasinya, meningkatkan kecekapan operasi dan mengembangkan keupayaannya.

 

“Pelaburan itu juga akan menerajui penciptaan sistem armada berkembar digital bersepadu yang inovatif, yang berpotensi untuk mengubah sepenuhnya operasi bawah air,” kata VentureTECH. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif VentureTECH, Ahmad Redzuan Sidek berkata kepakaran dan penyelesaian inovatif SS Rover sejajar dengan misi syarikatnya dalam inovasi dan memperkasakan syarikat Bumiputera berpotensi tinggi dalam sektor teknologi. 

 

“Pelaburan ini mencerminkan komitmen kami untuk mengubah industri robotik bawah air, mencipta pekerjaan baharu sekaligus memacu perubahan masyarakat yang posititif," tambah beliau.

 

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan SS Rover, Syamsul Nizam Azmee berkata, dengan sokongan VentureTECH, kami dalam kedudukan baik untuk mewujudkan kepimpinan ROV bawah air dan merintis kemajuan ketara dalam industri.- DagangNews.com