Veteran korporat gesa kerajaan segera laksana saringan COVID-19 berwajib | DagangNews Skip to main content

Veteran korporat gesa kerajaan segera laksana saringan COVID-19 berwajib

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Mei - Veteran korporat dan bekas Pengarah Urusan Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON), Tan Sri Adzmi Abdul Wahab menggesa kerajaan untuk segera melaksanakan saringan COVID-19 berwajib memandangkan kes jangkitan kian meningkat saban hari. 

 

Katanya, kerajaan perlu mengambil tindakan pantas dalam melihat dan menyusun semula strategi untuk melindungi rakyat memandangkan program vaksinasi belum lagi mencapai ke tahap imuniti kelompok. 

 

“Setiap individu perlu diperiksa dan tiada yang tertinggal memandangkan varian COVID-19 terutamanya dalam kalangan yang tidak bergejala semakin meningkat dan membimbangkan,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Adzmi Abdul Wahab
Adzmi Abdul Wahab

 

Ujar beliau lanjut, saringan COVID-19 di Selangor yang ditaja kerajaan negeri mendapati majoriti mereka berusia antara 20 hingga 40 tahun yang didapati positif COVID-19, tidak bergejala. 

 

Disebabkan itu ujian berwajib diperlukan untuk mengenal pasti, mengasingkan dan merawat kes COVID-19 terutamanya mereka yang tidak bergejala daripada menular ke penduduk lain, katanya lagi.

 

Beliau memuji langkah kerajaan negeri Selangor untuk melaksanakan program saringan percuma dan melihat ini merupakan langkah terbaik. 

 

Sebagai rekod, saringan itu dilaksanakan oleh Selcare, pihak pengurusan program penjagaan kesihatan kerajaan negeri, Skim Peduli Sihat. 

 

Selcare mendapati hampir 80% individu yang positif merupakan mereka yang kelihatan sihat dan tidak menunjukkan tanda-tanda dijangkiti. 

 

Mengulas mengenai situasi itu, Adzmi berkata, kesemua individu itu telah bergerak secara bebas seperti ke tempat kerja, premis awam dan kawasan yang mempunyai trafik tinggi. 

 

“Virus ini akan merebak dengan mudah di rumah-rumah, di mana tiada penggunaan pelitup muka.

 

“Ini merupakan salah satu cara virus itu merebak tanpa diketahui dan menular kepada ahli keluarga di rumah. Ini bukan lagi kluster, tetapi sporadik. 

 

“Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) menjangkakan jumlah jangkitan COVID-19 akan meningkat dalam masa beberapa hari akan datang,” katanya.

 

Hari ini, Malaysia mencatatkan kes jangkitan harian tertinggi setakat ini, iaitu 6,806 dan hampir daripadanya dilaporkan di kawasan Lembah Klang. - DagangNews.com