Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 22 Jan. - – Situasi di mana kaunter perniagaan yang dipenuhi dengan pelbagai paparan kod QR tidak lagi akan kelihatan dengan adanya DuitNow QR yang standard.
Kod QR itu boleh diterima pakai oleh pihak bank dan e-dompet, sekaligus memberi kemudahan kepada pelanggan untuk melaksanakan bayaran secara meluas dan percuma.
Penyedia infrastruktur pembayaran nasional yang membangunkan ekosistem DuitNow, Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) menyatakan perkhidmatan DuitNow QR akan memanfaatkan peniaga dan pelanggan dengan lebih berkesan.
Ini berikutan, perusahaan, kecil dan sederhana (PKS) selain perniagaan mikro di seluruh negara kini hanya perlu memaparkan DuitNow QR untuk menerima pembayaran daripada pelanggan bank dan penyedia perkhidmatan e-dompet.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Peter Schiesser berkata, selepas pelancaran DuitNow QR pada tahun 2019, PayNet menerima penyertaan bank-bank dan penyedia perkhidmatan e-dompet bagi membolehkan pelanggan-pelanggan mereka membuat pembayaran dengan menggunakan aplikasi mudah alih pilihan.
“Sebagai usaha kami untuk mempromosikan pembayaran tanpa tunai dan menggalakkan penggunaan kaedah pembayaran digital yang lebih mudah, cekap dan juga tanpa sentuhan, perluasan ekosistem DuitNow QR merupakan suatu keutamaan di dalam agenda kami.
"Pengunaan satu kod QR menawarkan pengalaman pembayaran yang lebih baik bagi kedua-dua pihak peniaga dan pelanggan. Manfaat yang diterima oleh peniaga adalah penambahbaikan kecekapan di mana mereka hanya perlu berdaftar dengan satu institusi pengendalian (bank atau e-dompet) untuk menerima semua pembayaran QR, di samping dapat mengelakkan proses pendaftaran yang berulang kali, memaparkan pelbagai kod QR di kaunter serta penyelarasan penyata QR yang berasingan.
“Satu kod QR juga memudahkan pelanggan mereka membuat pembayaran. Dengan penerimaan pembayaran QR yang semakin meningkat, kami menggalakkan peniaga agar menghubungi salah satu institusi pengendalian DuitNow QR (bank atau e-dompet) untuk penyertaan yang pantas,” katanya dalam sebuah kenyataan.
DuitNow QR diwujudkan selaras dengan Rangka Kerja Pindahan Kredit Saling Boleh Kendali (ICTF) Bank Negara Malaysia (BNM) dan PayNet dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan standard QR nasional yang saling boleh kendali di Malaysia.
Pengguna boleh membuat bayaran dengan mengimbas kod DuitNow QR menggunakan telefon pintar mereka di mana pembayaran akan dibuat secara terus dari bank atau akaun e-dompet pengguna, ke akaun bank peniaga.
Pembayaran diproses dengan serta-merta dan notifikasi segera juga akan dihantar kepada kedua-dua pihak.
DuitNow QR tidak memerlukan kedua-dua pelanggan dan peniaga sebagai pelanggan bank atau e-dompet yang sama.
DuitNow QR kini ditawarkan oleh 26 pengendali, dengan penyertaan 15 bank dan e-dompet baharu yang akan turut mengambil bahagian secara progresif dalam tempoh enam bulan yang akan datang. - DagangNews.com