Visa jemput syarikat pemula Asia Pasifik sertai Visa Accelerator Program 2023 | DagangNews Skip to main content

Visa jemput syarikat pemula Asia Pasifik sertai Visa Accelerator Program 2023

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Jan - Visa menjemput komuniti syarikat pemula Asia Pasifik untuk menyertai Visa Accelerator Program 2023 yang telah dilancarkan pada 2019.

 

Program yang memasuki tahun ketiga itu bertujuan menyediakan penyelesaian terkini kepada industri pembayaran.

 

Program berkenaan ditetapkan untuk memberi tumpuan kepada pembangunan penyelesaian yang boleh digunakan untuk pelbagai bidang termasuk Web3, pergerakan wang global, kewangan, pemboleh niaga dan perniagaan kecil serta penyelesaian perbankan terbuka.

 

Lima syarikat pemula daripada kohort tahun lepas baru-baru ini membentangkan bukti konsep mereka di acara Visa Accelerator Spotlight. Pembentangan mengikuti kerjasama permulaan dengan produk Visa dan pasukan pembangunan perniagaan. 

 

Syarikat pemula daripada kohort 2021 dan 2022 memperoleh sembilan tawaran komersial dengan pelanggan dan rakan kongsi Visa yang berpangkalan di APAC.

 

Selain itu, Visa telah memeterai enam perjanjian perkongsian dan komersial dengan syarikat permulaan terpilih, menekankan nilai yang boleh dibawa oleh syarikat permulaan kepada industri pembayaran yang lebih luas.

 

Pengurus Negara Visa bagi Malaysia, Ng Kong Boon berkata, pihaknya teruja melihat produk-produk yang dibangunkan bersama syarikat-syarikat pemula yang berjaya daripada kumpulan yang terdahulu.

 

"Kami memilih kumpulan syarikat ketiga, jangkaan memang tinggi kerana kami mahu terus membawa masuk syarikat pemula terbaik di rantau ini ke dalam rangkaian pembayaran Visa. Kami tidak sabar-sabar untuk menerima permohonan dari Malaysia untuk Visa Accelerator Program 2023," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Permohonan bagi Visa Accelerator Program 2023 kini dibuka dan akan ditutup pada 10 Januari 2023.  

 

Program itu ditujukan kepada syarikat-syarikat pemula yang berada pada peringkat Siri A dan ke atas, mempunyai komitmen jangka panjang terhadap pertumbuhan di Asia Pasifik dengan operasi sedia ada di rantau ini, dan memiliki penyelesaian terbukti yang diterima pasaran.  

 

Program selama enam bulan ini akan membolehkan syarikat-syarikat pemula terpilih untuk berganding bahu dengan pakar-pakar pembayaran, jurubina produk dan pasukan pembangunan perniagaan Visa. - DagangNews.com