Visa umum kerjasama dengan tiga bank, bawa Apple Pay untuk pemegang kad | DagangNews Skip to main content

Visa umum kerjasama dengan tiga bank, bawa Apple Pay untuk pemegang kad

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Visa hari ini mengumumkan kerjasama dengan Ambank, Maybank, dan Standard Chartered Bank untuk membawakan Apple Pay kepada para pemegang kadnya di Malaysia. 

 

Apple Pay merupakan kaedah yang selamat, tanpa sentuh dan mudah untuk membayar yang membantu para pelanggan mengelakkan perbuatan menyerahkan kad pembayaran mereka kepada orang lain, menyentuh butang fizikal, atau bertukar-tukar wang tunai dan sebaliknya menggunakan kuasa iPhone untuk melindungi setiap transaksi.   

 

Pemegang kad Visa daripada bank-bank yang mengambil bahagian boleh membuat pembayaran tanpa sentuh hanya dengan memegang iPhone atau Apple Watch mereka berdekatan dengan terminal pembayaran. 

 

Setiap pembelian Apple Pay adalah selamat kerana ia disahkan oleh Face ID, Touch ID, atau kod laluan peranti, di samping kod keselamatan dinamik satu kali penggunaan yang unik. 

 

Apple Pay di pelbagai lokasi peniaga di seluruh dunia pada masa ini didayakan dengan penerimaan pembayaran tanpa sentuh, yang merangkumi restoran, pengangkutan, pasar raya, kedai serbaneka,  pembelian runcit, dan pelbagai tempat lain. 

 

Pengurus Negara bagi Visa Malaysia, Ng Kong Boon berkata, penggunaan pembayaran digital telah berkembang pesat sepanjang dua tahun lepas, sekali gus mempercepat peralihan Malaysia untuk menjadi masyarakat tanpa tunai. 

 

"Visa berasa teruja untuk menyokong pengenalan Apple Pay di Malaysia, terutamanya memandangkan negara ini telah berada di landasan yang kukuh dari segi penerimaan dan penggunaan pembayaran tanpa sentuh. 

 

"Kami percaya bahawa Apple Pay dengan ciri keselamatan, privasi dan pengalaman tanpa PIN yang mudah akan mendapat sambutan yang menggalakkan.

 

“Berikutan pembayaran tanpa sentuh berkembang, kami berasa yakin bahawa peranti mudah alih pintar akan terus menjadi bahagian yang penting kepada kehidupan seharian kita, sekali gus menggantikan dompet yang dipenuhi wang tunai. 

 

"Kini dengan Apple Pay, pelanggan memperoleh manfaat tambahan dan jaminan bahawa transaksi mereka bukan sahaja mudah dan selesa, tetapi juga selamat dan sulit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Selain menggunakan Apple Pay untuk transaksi secara bersemuka (face-to-face), pemegang kad boleh menggunakan Apple Pay pada iPhone, iPad, dan Mac untuk melakukan pembelian yang lebih pantas dan selesa dalam aplikasi atau secara dalam talian tanpa perlu mewujudkan akaun atau menaip berulang kali maklumat penghantaran dan pengebilan.

 

Antara lainnya, Apple Pay menjadikan urusan lebih mudah untuk membayar pembelian dalam talian, pengangkutan, tempahan perjalanan, pertiketan, makanan dan menjamu selera. Apple Pay juga boleh digunakan untuk membuat pembayaran dalam aplikasi melalui Apple Watch. - DagangNews.com