Visi Sukan Negara 2030 - pelan hala tuju pembangunan sukan negara untuk 10 tahun, kata PM | DagangNews Skip to main content

Visi Sukan Negara 2030 - pelan hala tuju pembangunan sukan negara untuk 10 tahun, kata PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (empat dari kanan) pada majlis pelancaran Hari Sukan Negara 2022 di Putrajaya, 8 Oktober 2022.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

PUTRAJAYA 8 Okt - Visi Sukan Negara 2030 (VSN 2030) yang dilancarkan hari ini membawa hala tuju dan perancangan baharu pembangunan sukan negara yang  dsusun secara komprehensif, bersepadu dan kolektif bagi tempoh 10 tahun.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata melaluinya arena sukan negara mendapat nafas baharu dengan konsep 'Daripada Komuniti Kepada Komuniti' yang membabitkan seluruh Keluarga Malaysia bagi merencana strategi sukan negara untuk sedekad mendatang.

 

Beliau berkata, VSN2030 yang dibangunkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga akan meneruskan legasi sukan sebagai alat perpaduan yang ampuh dalam masyarakat.

 

"Ia juga bakal melahirkan jaguh-jaguh berkelas dunia dan menjadi dokumen rasmi kerajaan dalam pembangunan sukan tanah air," katanya ketika merasmikan Hari Sukan Negara 2022 di Dataran Istana Kehakiman di sini, hari ini.

 

Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.


 

PM

 


Perdana Menteri berkata, VSN2030 juga merupakan sebuah dokumen dasar yang berkonsepkan pendemokrasian sukan dengan keterbukaan untuk menerima pandangan dan suara semua pihak.

 

Menurutnya, dokumen ini akan sentiasa diteliti dari semasa ke semasa bagi memastikan ia kekal relevan dalam memacu industri sukan Malaysia untuk terus gemilang
sehingga tahun 2030.

 

Di samping itu, Perdana Menteri juga meminta KBS berusaha meningkatkan lagi pembudayaan dan pencapaian sukan melalui usaha-usaha proaktif seperti:

 

Pertama: Tawaran pemberian biasiswa dan peluang melanjutkan pelajaran kepada atlet-atlet yang cemerlang dan berjaya memenangi pingat bermula daripada peringkat temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan kejohanan peringkat antarabangsa yang diiktiraf oleh Kerajaan;

 

Kedua: Bekas-bekas atlet yang berkemahiran akan dipertimbangkan sebagai Jurulatih Pendidikan Jasmani dan akan dilibatkan dalam inisiatif pencarian bakat sukan di peringkat akar umbi melalui program My Talent Identification (MyTID);

 

Ketiga: Semakan dan pewartaan semula Jadual Pertama di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997, yang mana jenis-jenis sukan yang tersenarai akan ditingkatkan dan sukan elektronik juga akan turut disenaraikan; dan
 

Keempat: Menaik taraf fasiliti-fasiliti sukan bagi meningkatkan akses kepada kemudahan sukan dan secara tidak langsung meningkatkan penglibatan Keluarga Malaysia untuk bergiat aktif dalam aktiviti bersukan.

 


 

hsn

 

hsn

 


"Marilah kita bersama-sama menyokong usaha Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan dengan sasaran sekurangkurangnya
dua per tiga rakyat Malaysia bersenam dan aktif bersukan sekurangnya 5 sesi seminggu dan 30 minit setiap sesi.

 

"Inilah semangat sebenar Hari Sukan Negara, di mana seluruh Keluarga Malaysia bersama-sama bersukan walau di mana mereka berada, seterusnya dapat
meningkatkan kecergasan diri dan produktiviti," kata Perdana Menteri. - DagangNews.com