ViTrox akan terus hadapi masalah kekurangan bekalan akibat sekatan pergerakan di China | DagangNews Skip to main content

ViTrox akan terus hadapi masalah kekurangan bekalan akibat sekatan pergerakan di China

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 April - ViTrox Corporation Berhad akan terus berhadapan dengan kekurangan bekalan akibat sekatan pergerakan berterusan di China dengan pihak berkuasa tempatan di negara itu kekal dengan polisi bebas COVID-19.

 

AmInvestment Bank Berhad berkata, China menyumbang sebanyak 33% kepada pengeluaran produk utama kumpulan itu pada FY21.

 

"Bagaimanapun kami menyukai ViTrox kerana produk peralatan sistem visi mesin (MVS) dan pemeriksaan papan automatik (ABI) yang menarik, didorong oleh kemajuan dalam teknologi seperti Industri 4.0, kenderaan elektrik/autonomi serta penggunaan infrastruktur rangkaian 5G.

 

"Prospek masa hadapan dilihat cerah dengan usaha mempelbagaikan produk ke pasaran Taiwan dan China serta komitmen pengurusan dalam memberi tumpuan kepada inovasi produk dan penambahbaikan produk," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, untung bersih ViTrox melonjak 63% kepada RM50.02 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 berbanding RM30.70 juta pada tahun sebelumnya.

 

Syarikat yang menghasilkan peralatan pemeriksaan visi automatik bagi industri semikonduktor dan pembungkusan elektronik itu meraih perolehan sebanyak RM185.28 juta, perolehan suku pertama yang tertinggi setakat ini, peningkatan 43% berbanding RM129.88 juta pada suku yang sama tahun lalu.

 

"Kami mengekalkan unjuran pendapatan ViTrox selepas berjaya mencapai jangkaan kami iaitu 25% untuk keuntungan bersih dan konsensus bagi FY22F.

 

"Pengurusan juga mencadangkan pemberian dividen sebanyak 3.3 sen dan ia adalah selari dengan trend serta jangkaan kami untuk dividen yang lebih tinggi untuk suku pertama," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan nilai wajar (FV) tidak berubah RM8.37 sesaham. - DagangNews.com