ViTrox tambah nilai produk untuk tingkat harga purata jualan bagi jangka panjang | DagangNews Skip to main content

ViTrox tambah nilai produk untuk tingkat harga purata jualan bagi jangka panjang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 April - ViTrox Corporation Berhad akan terus berhadapan masalah kekuarangan bekalan akibat kenaikan harga bahan mentah global.

 

AmInvestment Bank Research berkata, kumpulan itu secara strategik sudah menaikkan harga jualan sebagai usaha untuk mengurangkan tekanan terhadap margin keuntungan.

 

"Sebagai usaha untuk menaikkan harga purata jualan (ASP) bagi jangka panjang, kumpulan itu memberi fokus kepada nilai tambah produk seperti penggunaan kecerdasasan buatan (AI) dan kebolehan IR 4.0 terhadap produk yang melengkapi platform data analitik V-One.

 

"Buat masa sekarang, sekurang-kurangnya 10% daripada mesin keluaran ViTrox dilengkapi AI," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, sekatan pergerakan dan polisi bebas COVID-19 di China juga memberi kesan kepada kumpulan bagi mendapatkan bekalan bahan mentah.

 

Bagaimanapun, firma itu optimis bahawa kumpulan itu berkemampuan untuk mengatasi masalah yang melanda sejak bermulanya pandemik itu kira-kira dua tahun lalu.

 

"Kami terus menyukai ViTrox kerana produk peralatan sistem visi mesin (MVS) dan pemeriksaan papan automatik (ABI) yang menarik, didorong oleh kemajuan dalam teknologi seperti Industri 4.0 dan AI.

 

"Bersama platform data analitik V-One, kami percaya ia akan mencipta ekosistem pembuatan yang akan menarik lebih ramai pelanggan baharu selain mengekalkan pelanggan sedia ada," katanya.

 

Firma itu, menyemak naik saranan mereka daripada 'pegang' kepada 'beli' untuk ViTrox dengan nilai wajar (FV) lebih tinggi iaitu RM9.89 berbanding RM8.37. - DagangNews.com