VS Industry catat untung bersih 19.3% lebih rendah pada RM49.98 juta bagi 1QFY24 kesan penurunan tempahan pelanggan utama | DagangNews Skip to main content

VS Industry catat untung bersih 19.3% lebih rendah pada RM49.98 juta bagi 1QFY24 kesan penurunan tempahan pelanggan utama

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Dis - Keuntungan bersih VS Industry Bhd menurun 19.3% kepada RM48.98 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Julai 2024 (1QFY24), berbanding RM60.7 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Ini disebabkan oleh tempahan lebih rendah daripada pelanggan utamanya di Malaysia, China dan Indonesia, yang menjejaskan kadar penggunaan keseluruhan kapasiti pengeluaran kumpulan, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Pada suku berakhir 31 Oktober 2023 ini, VS Industry mempunyai pendapatan sesaham (EPS) lebih rendah pada 1.27 sen berbanding 1.58 sen tahun lepas.

 

Sementara itu, pendapatannya bagi suku dalam tinjauan merosot 10.9% kepada RM1.15 bilion daripada RM1.29 bilion sebelumnya.

 

Walaupun pendapatan suku tahunan lebih rendah, penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) berkenaan mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 0.3 sen sesaham, yang akan dibayar pada 8 Mac 2024.

 

Pada akhir Oktober, kumpulan itu mempunyai penggearan bersih yang rendah sebanyak 0.09 kali, disokong oleh aset bersih sebanyak 58 sen sesaham dan pegangan tunai kasar sebanyak RM699.6 juta.

 

Pengarah Urusan VS Industry Datuk Gan Sem Yam mengulas bahawa persekitaran perniagaan kumpulan itu dijangka kekal mencabar, memandangkan landskap ekonomi terus memberi tekanan ke atas kos operasinya berikutan peningkatan perbelanjaan buruh, utiliti dan pembiayaan.

 

 

Datuk Gan Sem Yam
Datuk Gan Sem Yam

 

 

“Dalam hal ini, pengurusan terus mengamalkan sikap berhemat dalam memastikan struktur operasi sihat dan cekap bagi mengurangkan kesan peningkatan kos terhadap keuntungan.

 

“Tambahan pula, operasi kami disokong oleh kunci kira-kira dengan penggearan bersih lebih rendah dan aliran tunai sihat, yang akan mengukuhkan ketangkasan kami untuk mengemudi sebarang isu tidak dijangka,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Bagi permintaan luar, Gan berkata perbelanjaan pengguna telah menunjukkan tanda-tanda pengurangan disebabkan persekitaran kadar faedah yang tinggi, yang berpotensi menjejas permintaan untuk produk pelanggan utama kumpulan itu.

 

“Secara positif, rancangan pelancaran beberapa model baharu oleh pelanggan tertentu kami seharusnya dapat mengekalkan minat pasaran dalam tahun kewangan semasa. Secara keseluruhannya, lembaga pengarah berpendapat bahawa prestasi kewangan kumpulan untuk suku yang berikutnya memuaskan,” tambahnya.

 

Pada rehat tengah hari ini, saham VS Industry turun 0.5 sen atau 0.6% kepada pada 82.5 sen, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM3.2 bilion.  - DagangNews.com