KUALA LUMPUR 8 Nov - V.S Industry Berhad mungkin berdepan lebih banyak tekanan jangka pendek termasuk pengurangan tempahan pelanggan berikutan permintaan global yang lemah.
Affin Hwang Capital berkata, isu berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), ketidakupayaan untuk menyalurkan kos, kekurangan komponen dan kekangan tenaga kerja asing adalah antara masalah yang dihadapi oleh kumpulan itu sejak dua tahun lalu.
Firma itu berkata, V.S Industry terpaksa menangani masalah pesanan pelanggan yang semakin perlahan akibat pertumbuhan permintaan global yang lebih lemah.
"Kebanyakan pelanggan sedia ada telah mengurangkan jumlah tempahan mereka dalam beberapa bulan kebelakangan ini berikutan keadaan pasaran yang lebih perlahan, kecuali pelanggan X (kira-kira 45% daripada hasil tahun kewangan 2023).
"Bagaimanapun, ini hanya disebabkan oleh inventori yang rendah selepas penamatan kontrak pengilang Malaysia baru-baru ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu mengekalkan penarafan 'jual' terhadap kumpulan itu dengan harga sasaran (TP) 70 sen.
Katanya, kelemahan pendapatan adalah hasil daripada penguncupan margin keuntungan pada suku akan datang yang menyaksikan lebih banyak pemotongan dalam pendapatan konsensus.
"Kami menjangkakan sektor perkhidmatan pembuatan elektronik akan menghadapi lebih banyak tekanan jangka pendek mengenai pengurangan pesanan selanjutnya yang terjejas oleh permintaan pelanggan global yang lebih lemah.
"Prospek pertumbuhan hasil jangka pendek bertukar lemah kesan daripada gangguan rantaian bekalan," katanya. - DagangNews.com