KUALA LUMPUR 7 Jan - VS Industry Bhd. optimis dan hati-hati terhadap prospek kumpulan terutama dari segi permintaan yang terus kekal kukuh pada tahun ini.
Pengarah Urusannya, Datuk SY Gan berkata, dengan aliran pesanan yang kukuh dalam masa terdekat, kumpulan telah memperuntukkan kira-kira RM150 juta dalam perbelanjaan modal (capex) untuk
mengembangkan dan meningkatkan kapasiti.
Katanya, pada November lalu, kumpulan telah membelanjakan sebanyak RM30 juta untuk membeli 3 bidang tanah berkeluasan 8.9 ekar di Senai, Johor untuk tujuan pengembangan kapasiti pada masa akan datang.
"Melangkah ke masa hadapan, tumpuan kami kekal terhadap penyediaan penghantaran berkualiti tinggi tepat pada masanya kepada pelanggan di samping mengekalkan standard kecemerlangan dalam pelaksanaan kami," katanya dalam kenyataan selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-39 hari ini.
Bagi tahun kewangan 2021 (FY21), VS Industry akan menyambung semula amalan pembayaran dividen. Jumlah dividen bagi FY21 akan berjumlah hampir RM113.8 juta, mewakili pembayaran 46.4% berdasarkan untung bersih sebanyak RM245.4 juta. Kumpulan mempunyai polisi pembayaran dividen 40% daripada untung bersih.
Pada tahun kewangan tersebut, kumpulan merekodkan keuntung tertinggi dalam sejarah syarikat sebanyak RM245.4 juta di sebalik persekitaran yang mencabar.
Dalam pada itu, Gan berkata, kumpulan akan meneruskan usaha melabur dan sumber bagi memperkukuhkan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) memandangkan terdapat keperluan yang tinggi terhadap ESG.
"Secara keseluruhan, kami optimis dengan berhati-hati terhadap prospek kami berdasarkan faktor yang disebutkan di atas, di samping mengambil kira cabaran yang dihadapi," jelasnya. - DagangNews.com