KUALA LUMPUR 5 Jan - VS Industry Berhad memperuntukkan kira-kira RM60 juta bagi perbelanjaan modal (capex) pada FY24 yang akan disalurkan bagi mengoptimumkan kos.
Pengarah Urusan VS Industry, Datuk S.Y. Gan berkata, sebahagian daripada perbelanjaan itu akan digunakan bagi meningkatkan tahap automasi bagi mengurangkan kos tenaga keraja manual serta mengembangkan sistem solar fotovoltaik (PV) di ibu pejabatnya di i-Park @ Senai Airpot City di Johor.
“Melangkah tahun kewangan baharu (FY24), ketidakpastian pasaran dijangka berterusan dan keadaan operasi kumpulan kekal mencabar.
"Berdasarkan keadaan itu, kami mengambil pendekatan berhati-hati bagi mengharungi persekitaran yang mencabar. Ini juga ditunjukkan dalam strategi capex kami kerana kami menyalurkan dana untuk mengoptimumkan kos," katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-41, hari ini.
Beliau berkata, kumpulan itu juga sedang meningkatkan keupayaan untuk mengukuhkan keupayaan mereka.
Kumpulan itu juga gembira untuk berkongsi bahawa projek meningkatkan rantaian nilai yang dilakukan sebelum ini mencatatkan kemajuan positif.
"Kami juga memili beberapa perancangan baharu dalam usaha meningkatkan rantaian nilai kami pada masa hadapan.
"Secara keseluruhannya kami yakin untuk mengharungi cabaran dengan memanfaatkan kunci-kira kami yang stabil dan aliran tunai yang sihat untuk menjadi lebih baik berbanding sebelum ini," katanya. - DagangNews.com