VSTECS tanggung kenaikan kos logistik akibat gangguan rantaian bekalan import | DagangNews Skip to main content

VSTECS tanggung kenaikan kos logistik akibat gangguan rantaian bekalan import

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Feb - Syarikat pengedar barangan komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) terbesar Malaysia, VSTECS turut terkesan dengan gangguan rantaian bekalan yang membuatkan mereka terpaksa menanggung kenaikan kos logistik.

 

AmInvestment Research berkata, syarikat yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia itu perlu berhadapan dengan peningkatan kos dari segi penghantaran untuk komputer peribadi, notebook dan tablet yang diimport.

 

"Bagaimanapun, kos berkenaan berjaya diserap dengan pertambahan penghantaraan menjadikan harga setiap unit menjadi lebih murah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kumpulan itu memiliki tiga perniagaan utama iaitu pengedaran barangan ICT, penyelenggaraan barangan ICT selain membekal sistem penyelesaian untuk syarikat.

 

Firma penyelidikan itu berkata, berdasarkan kepada statistik Jabatan Perangkaan, sebanyak 77.6% isi rumah di Malaysia mempunyai kemudahan komputer pada 2020.

 

Katanya, berdasarkan trend semasa, setiap rumah memiliki lebih daripada satu komputer untuk kegunaan berkeja dan belajar selain kerajaan turut memberikan pelepasan cukai sebanyak RM2,500 bagi pembelian telefon pintar, komputer dan tablet menerusi Bajet 2022.

 

pc

 

"Menerusi pendekatan itu, kadar penembusan teknologi maklumat (IT) bagi setiap isi rumah akan meningkat dan akan membantu meningkatkan momentum pertumbuhan kepada VSTECS.

 

"Bagaimanapun, kumpulan ini berdepan dengan risiko gangguan rantaian bekalan yang dijangka memberi impak kepada penghantaran produk ICT ke negara ini.

 

"Sekiranya, berlaku sebarang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau larangan pergerakan akan menghalang perkembangan kumpulan selain akan memberi tekanan modal kepada mereka," katanya.

 

Pendapatan untuk tempoh sembilan bulan bagi 2021 (9MFY21) VSTECS meningkat sebanyak 37% manakala perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) meningkat dengan lebih pantas kepada 55% dari tahun ke tahun (YoY) dan ia disumbangkan oleh permintaan yang tinggi untuk produk ICT.

 

"Sehingga akhir suku ketiga 2021 (3QFY21), penghantaran tertunggak untuk produk ICT berada pada kedudukan 15 minggu, lebih lama berbanding era permulaan pandemik iatu empat minggu," katanya. - DagangNews.com