Wajar guna RM5 bilion dana KWAN untuk beli vaksin - MoF | DagangNews Skip to main content

Wajar guna RM5 bilion dana KWAN untuk beli vaksin - MoF

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 26 April - Keputusan kerajaan untuk menggunakan sebanyak RM5 bilion dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) bagi tujuan pembelian vaksin adalah wajar.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah tersebut hanyalah menggunakan jumlah pelaburan yang dijana dan bukannya jumlah pokok sumbangan Petronas RM10.4 bilion.

 

Jelas beliau lagi, penggunaannya turut dihadkan untuk memperoleh vaksin dan bukannya untuk tujuan lain.

 

"Anggaran RM5 bilion bagi perolehan vaksin hanyalah menggunakan jumlah pelaburan yang dijana tetapi jumlah pokok sumbangan RM10.4 bilion masih kekal dan tidak digunakan.

 

"Krisis COVID-19 merupakan krisis terbesar dalam sejarah hidup kita, oleh itu pengunaan RM5 bilion daripada KWAN untuk pembelian vaksin adalah wajar.

 

"Sekiranya kos vaksin sebanyak RM5 bilion tidak digunakan daripada dana KWAN, keperluan meminjam kerajaan adalah jauh lebih tinggi dan sasaran defisit mungkin akan meningkat kepada 6.2% dari KDNK," jelas beliau.

 

Beliau berkata demikin dalam satu sidang media khas Kementerian Kewangan mengenai kedudukan ekonomi dan kewangan negara hari ini.

 

Penjelasan tersebut sekali gus menepis dakwaan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menempelak tindakan kerajaan menggunakan dana KWAN untuk memperoleh vaksin COVID-19.

 

Jelas Guan Eng, kerajaan menggunakan kuasa darurat untuk mengambil dana yang sepatutnya digunakan untuk mengumpul simpanan wang kerajaan dan menyediakan pembiayaan alternatif untuk perbelanjaan pembangunan bagi menebus peruntukan dari Belanjawan 2021.

 

Mengulas agenda ketiga kedudukan ekonomi dan kewangan negara itu, Zafrul memberitahu, KWAN memiliki aset bersih sebanyak RM19.5 bilion sehingga 31 Disember 2020.

 

Daripada jumlah tersebut, RM10.4 bilion adalah sumbangan daripada Petronas, manakala RM9.1 bilion adalah hasil pulangan pelaburan terkumpul.

 

Mengulas dalam aspek perundangan, beliau memberitahu, undang-undang Malaysia juga turut membenarkan dana KWAN digunakan selepas tamatnya tempoh 10 tahun.

 

Katanya, Seksyen 6, Akta 339 membenarkan dana KWAN digunakan selepas tamatnya tempoh 10 tahun dari permulaan kuat kuasa Akta digunakan (1988) bagi membiayai projek pembangunan dalam Jadual Pertama Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 [Akta 406] dan pinjaman mudah kepada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri.

 

Pindaan undang-undang ke atas Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988 [Akta 339] melalui Ordinan Darurat mombolehkan dana KWAN digunakan untuk pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan berhubung dengan vaksin bagi apa-apa wabak penyakit berjangkit sahaja.

 

"Harus difahami krisis yang kita hadapi ketika ini bukanlah krisis ekonomi seperti tahun 1998 dan 2008. Ia adalah krisis kesihatan dan ekonomi secara serentak.

 

"Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kita perlu mengimbangi pemulihan jangka pendek dengan kelestarian jangka panjang," tambahnya lagi.

 

Peningkatan implikasi kewangan berbangkit apabila kerajaan mensasarkan Program Pemberian Vaksin (PPV) selesai lebih awal iaitu pada Disember 2021 berbanding suku tahun pertama tahun 2022. - DagangNews.com