Wajarkah Serba Dinamik dijadikan syarikat persendirian? | DagangNews Skip to main content

Wajarkah Serba Dinamik dijadikan syarikat persendirian?


SHAH ALAM 10 Sept – Apakah Serba Dinamik Holdings Bhd berada di persimpangan jalan sebagai syarikat tersenarai atau dijadikan syarikat persendirian ketika kesabaran pemegang saham benar-benar diuji semasa harga saham syarikat ini tidak berubah di paras 40 sen sejak akhir Julai lalu?

 

Keadaan ini agak mencabar bagi syarikat bersepadu minyak dan gas global ini, sedangkan FBM KLCI memperlihatkan trend menaik sejak pelantikan Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 20 Ogos lalu.

 

Kedudukan saham Serba Dinamik yang merudum berikutan isu tadbir urus yang tercetus oleh isu audit bagi akaun kewangan 2020 yang dibangkitkan oleh bekas firma audit luarannya, KPMG PLT pada Mei lalu.

 

‘’Namun fundamental syarikat ini kelihatan kekal teguh dengan buku tempahan yang besar,’’ menurut FocusM hari ini.

 

Baru-baru ini, Serba Dinamik mengumumkan syarikat itu telah meraih 15 kontrak baru bagi 10 projek operasi dan penyenggaraan (O&M) di Malaysia dan Indonesia, lima kontrak EPCC (kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan) di Malaysia dan Nepal.

 

Menurut penganalisis PublicInvest Research, Nurzulaikha Azali, kesemua kontrak berkenaan bernilai RM386.3 juta, maka ia boleh menambah baik perolehan Serba Dinamik kepada buku tempahan bernilai RM18 bilion.

 

“Akan terdapat turun naik di dalam perniagaan... berdasarkan kedudukan semasa, kelihatan Serba Dinamik terlalu besar untuk gagal kerana ia memiliki peranan utama di dalam industri minyak dan gas Malaysia, terutama sebagai rakan pembangunan vendor untuk Petronas,’’ kata beliau.

 

“Oleh itu, pada penilaian semasa, tidak mengejutkan pemegang saham utama Serba Dinamik mungkin mahu menjadikannya syarikat persendirian berasaskan penilaian ke atas syarikat yang kini terlalu rendah,’’ ujarnya.

 

 

karim abdullah
Mohd Abdul Karim Abdullah

 

 

Antara pemegang saham utama Serba Dinamik setakat 10 September 2021 adalah pengasas syarikat yang juga CEO dan Pengarah Urusan syarikat, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah (21%), pengasas bersama selaku pengarah bukan bebas bukan eksekutif, Datuk Abdul Kadier Sahib (16.25%), Amanah Saham Nasional Bhd (6.15%), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (4.99%) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) (4.55%) serta Kerajaan Negeri Sarawak.

 

Secara teknikal, penilaian terhadap Serba Dinamik kini ialah tiga kali PE (harga kepada perolehan) berbanding purata industri antara 6 hingga 7 kali manakala aset ketara bersih dinilaikan hanya 1.05, menurut pemerhati pasaran.

 

“Semua faktor ini menyebabkan menukar status menjadi syarikat persendirian tidak boleh diketepikan kerana langkah ini memberi pulangan lebih baik kepada pemegang saham utama syarikat,’’ katanya.

 

Seandainya benar langkah ini diambil kata pemerhati pasaran itu lagi, harga saham Serba Dinamik mampu jadi berganda daripada harga semasanya. – DagangNews.com