Wajib kuarantin memasuki Sarawak 7-14 hari walaupun sudah terima 2 vaksinasi | DagangNews Skip to main content

Wajib kuarantin memasuki Sarawak 7-14 hari walaupun sudah terima 2 vaksinasi

 

KUCHING 26 Ogos – Warga Sarawak dan bukan warga yang sudah divaksinasi sepenuhnya dari luar negara, tetap diwajibkan menjalani tempoh kuarantin antara 7 hingga 14 hari di fasiliti-fasiliti kuarantin yang diwartakan.

 

Bagaimanapun, individu yang terbang dari Semenanjung Malaysia dan sudah divaksinasi sepenuhnya, dibenarkan untuk menjalani kuarantin di rumah masing-masing.

 

Maksud `divaksinasi sepenuhnya’ ialah dua minggu selepas memperoleh dos kedua vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac manakala 28 hari selepas menerima 1 dos vaksin CanSino dan Johnson & Johnson.

 

Dalam garis panduan terbaharu Memasuki Sarawak, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC) menggariskan bahawa kuarantin 14 hari di fasiliti diwartakan, adalah bagi mereka yang sudah memenuhi syarat transit di Kuala Lumpur dan tiba di Sarawak sebagai pintu masuk pertama.

 

Antara peraturan transit di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Sarawak ialah pelawat hendaklah memiliki penerbangan sambungan di dalam tempoh 24 jam ke Sarawak tanpa keluar dari lapangan terbang atau bangunan terminal serta sudah divaksin dengan dua dos.

 

Kuarantin 14 hari juga terlaksana bagi individu yang memasuki negeri itu secara terus dari negara jiran iaitu Singapura, Brunei dan Indonesia.

 

Walaubagaimanapun, pelawat yang sudah melengkapkan kuarantin di pusat-pusat seumpamanya di Kuala Lumpur, hanya dikenakan kuarantin tujuh hari, dengan syarat mereka memasuki Sarawak dalam tempoh 24 jam selepas dibenarkan keluar dari pusat kuarantin dan laporan ujian negatif.

 

SDMC mewajibkan semua pengunjung ke Sarawak sama ada dari destinasi domestik atau luar negara, mengemukakan keputusan ujian COVID-19 yang negatif, untuk tempoh 3 hari, permit polis, sijil vaksinasi digital dan perintah kuarantin.

 

Kelayakan untuk masuk akan diberikan untuk alasan-alasan seperti pelajar pulang untuk cuti semester, suami isteri yang tinggal di negeri lain, ibu bapa melawat anak di bawah usia 18 tahun, lawatan kerja rasmi atau perkhidmatan penting, kecemasan seperti kematian atau pengebumian ahli keluarga, mendapatkan rawatan perubatan kritikal dan pelancongan perubatan.

 

‘’Lawatan tidak melibatkan urusan penting, percutian dan santai adalah tidak dibenarkan masuk ke Sarawak (buat masa ini),’’ kata SDMC.
 



 

entersarawak
CONTOH kelulusan memasuki Sarawak yang dikirim ke telefon pintar individu.



 


Sebelum memasuki Sarawak, pelawat dikehendaki membuat permohonan menerusi aplikasi EnterSarawak atau laman web dengan mengemukakan semua dokumen berkaitan iaitu kad pengenalan (depan belakang), sijik lahir anak, tiket penerbangan, permit kerja, sijil kahwin atau kematian, surat perubatan atau pengesahan majikan bagi tujuan tinggal lama atau sekejap.

 

SDMC mengingatkan bahawa permohonan yang dokumen tidak lengkap, akan ditolak. – DagangNews.com