Wan Nurzila jadi `kambing hitam' PMO atas kegagalan komunikasi kerajaan - KJ | DagangNews Skip to main content

Wan Nurzila jadi `kambing hitam' PMO atas kegagalan komunikasi kerajaan - KJ

KUALA LUMPUR 10 Mei - Datuk Wan Nurzila Wan Abd Rahman yang menamatkan perkhidmatannya sebagai pengarah Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri (PMO) nampaknya dijadikan kambing hitam atas kegagalan komunikasi kerajaan.

 

Dalam sesi podcast 'Keluar Sekejap' di Youtube, bekas pemimpin Umno, Khairy Jamaluddin berkata ini dilihat di dalam kes Wan Nurzila, dengan PMO menyedari bahawa komunikasi pejabat tidak berfungsi dengan baik.

 

Beliau juga berkata rekod kerja Wan Nurzila sebelum ini dengan bekas pemimpin Umno termasuk Datuk Seri Najib Razak boleh dijadikan alasan untuk mendorong beliau berundur daripada jawatan itu.


 

Datuk Wan Nurzila Wan Abd Rahman
                              Datuk Wan Nurzila Wan Abd Rahman

 


“Beliau dilihat menjadi sasaran terutama oleh jentera komunikasi Pakatan Harapan (PH) berikutan hubungannya dengan pemimpin Umno sebelum ini.

 

“(PMO) tidak seharusnya cepat melabel seseorang itu sebagai tidak dapat bekerja dengan baik kerana pekerjaan sebelum ini.

 

“Saya lihat Wan Nurzila diberhentikan kerja kerana itu,” katanya dalam podcast yang dikeluarkan pada Selasa.

 

Beliau turut disertai rakan bekas pemimpin Umno, Shahril Hamdan.

 

Khairy menegaskan terdapat kelemahan yang jelas dalam jabatan komunikasi dalam kerajaan dan mendakwa Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff adalah antara punca kegagalan komunikasi itu.


 

Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff
    Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff

 


“Dia seorang profesor sains politik, tetapi saya tidak fikir dia tahu apa yang dia lakukan.

 

"Dia nampaknya tidak sesuai dengan tujuan tugas itu. Terdapat keperluan untuk merombak pasukan komunikasi," tambahnya.

 

Beberapa portal berita dalam talian telah memetik sumber yang mengatakan bahawa Wan Nurzila diberi notis 24 jam untuk mengosongkan jawatannya.

 

Satu sumber memberitahu portal berita bahawa pemergiannya dari pejabat mungkin ada kaitan dengan masalah yang timbul daripada beberapa puak komunikasi dalam jentera perdana menteri yang membawa "kepada ketidakberkesanan kempen Malaysia Madani". - DagangNews.com