Wang jaminan RM50k sudah disediakan untuk isteri Guan Eng, kata peguam | DagangNews Skip to main content

Wang jaminan RM50k sudah disediakan untuk isteri Guan Eng, kata peguam

Betty Chew. Gambar oleh The Star

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Wang jaminan berjumlah RM50,000 telah disediakan bagi mengikat jamin isteri bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Betty Chew.

Perkara tersebut telah disahkan oleh peguam yang mewakilinya, Lee Khai hari ini.

Isteri Guan Eng itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung perkaitannya dengan sebuah syarikat swasta, Excel Property Management and Consultancy Sdn. Bhd..

Khai turut menemani Chew untuk memberi kenyataan bagi membantu siasatan terbabit.

Selain peguamnya, Chew turut ditemani adik iparnya, Lim Hui Ying di pejabat SPRM Pulau Pinang sekitar pukul 10.45 pagi tadi.

Namun, berdasarkan pemerhatian petugas media di mahkamah berkenaan mendapati, Chew masih berada di pejabat suruhanjaya itu setakat pukul 4 petang tadi.

Terdahulu, bagi kes suaminya yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, Lim Guan Eng dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan dua orang penjamin.

Baca: Lim Guan Eng diikat jamin RM1 juta

Berdasarkan jumlah wang jaminan itu, Hakim Azura Alwi membuat keputusan untuk membenarkan Guan Eng membayar jaminan RM500,000 pada hari ini.

Namun, baki daripada jumlah keseluruhan wang jaminan itu perlu diselesaikan selewat-lewatnya pada Isnin.

Azura Alwi turut mengeluarkan perintah penyerahan pasport antarabangsa dan diplomatik Ahli Parlimen Bagan itu kepada mahkamah hingga kes diselesaikan. - DagangNews.com