Wanita Indonesia dikerah jadi buruh paksa berjaya diselamatkan | DagangNews Skip to main content

Wanita Indonesia dikerah jadi buruh paksa berjaya diselamatkan

PUTRAJAYA 25 Sept – Seorang pekerja warganegara Indonesia yang menjadi mangsa buruh paksa di Perak telah diselamatkan selepas mendapat aduan dan maklumat daripada pihak Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) Kuala Lumpur pada 20 September 2021.

 

Risikan yang telah dijalankan pada 20 hingga 21 September 2021 mendapati kediaman dan tempat pekerjaan mangsa wujud di satu kawasan terpencil dan jauh daripada kediaman lain di Ayer Tawar, Perak.

 

Hasil risikan yang dijalankan telah membawa kepada operasi menyelamat mangsa pada 23 September 2021 yang diketuai oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) ibu pejabat dan JTK Perak dengan kerjasama pasukan Task Force MAPO dan juga pegawai Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dari IPD Daerah Manjung. Operasi menyelamat dilaksanakan pada jam 6.50 pagi.

 

Mangsa yang diselamatkan adalah seorang wanita warganegara Indonesia yang mengesahkan dirinya telah memasuki Malaysia secara sah dengan permit kerja sebagai pembantu rumah pada Jun 2003 melalui seorang agen yang dikenalinya.

 

Selepas mendapat pekerjaan, gaji mangsa telah dipotong sebanyak 4 bulan berjumlah RM350 sebulan sebagai kos bayaran kepada agen tersebut.

 

Namun mangsa tidak mempunyai sebarang pengetahuan berhubung perkara ini kerana menyerahkan semuanya kepada agen dan beliau mengakui tiada sebarang kontrak perjanjian bertulis dibuat berhubung proses penggajian beliau termasuklah bayaran kepada agen berkenaan.

 

Siasatan awal jelas menunjukkan mangsa yang telah tamat tempoh sah permit pada Jun 2020 diklasifikasikan sebagai buruh paksa dengan wujudnya beberapa indikator yang digunakan dalam mengenal pasti seseorang pekerja itu adalah buruh paksa atau bukan.

 

Indikator tersebut antaranya termasuklah gaji mangsa tidak dibayar untuk tempoh tiga (3) tahun dari 2018 hingga 2021 dan berjumlah lebih kurang RM25,000 (RM700 x 3 Tahun).

 

Majikan/suspek juga mengeksploitasi mangsa dengan ugutan beliau bukan pekerja sah dan sering kali memarahi mangsa sekiranya ingin kembali ke negara asal.

 

Bahkan mangsa pernah dikasari secara fizikal iaitu disepak pada bahagian muka apabila mangsa meminta baki gaji yang tertunggak.

 

Kesemua situasi yang dihadapi oleh mangsa merupakan indikator kukuh yang menunjukkan bahawa majikan/suspek telah melakukan satu kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Anti-Trafficking in Persons and Anti-Smuggling of Migrants – ATIPSOM) 2007.

 

Mangsa yang diselamatkan masih dalam trauma dan ditempatkan di Rumah Perlindungan Zon Tengah di Damansara selepas mangsa diberikan Interim Protection Order (IPO) oleh Mahkamah Magistret Sri Manjung pada tarikh sama beliau diselamatkan.

 

IPO tersebut adalah untuk tempoh 21 hari iaitu sehingga 13 Oktober 2021 bagi melengkapkan satu kertas siasatan di bawah Akta ATIPSOM 2007 yang dikendalikan oleh JTK, dan seterusnya akan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi semakan dan membuat keputusan.

 

Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataan di sini berkata, operasi menyelamatkan pekerja warga Indonesia tersebut jelas menunjukkan usaha bersepadu secara berterusan oleh agensi-agensi penguatkuasaan termasuk JTKSM.

 

''Ini jelas menunjukkan bahawa negara tidak akan sesekali berkompromi dalam isu buruh paksa tanpa mengira kewarganegaraan pekerja terbabit,'' kata kementerian. – DagangNews.com