Wanita umur 104 tahun dari Assam Kumbang terima vaksin di Columbia Asia Taiping | DagangNews Skip to main content

Wanita umur 104 tahun dari Assam Kumbang terima vaksin di Columbia Asia Taiping

TAIPING 27 Ogos - Sejarah tercipta di Hospital Columbia Asia Taiping apabila menerima seorang wanita warga emas berusia 104 tahun untuk mendapatkan vaksin COVID-19 hari ini.

 

Berasal dari Assam Kumbang dekat sini, K. Letchemy, 104, dibawa dua cucunya ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) hospital berkenaan untuk menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer.

 

Cucu Letchemy, Dr. K. Thangamani, 59, berkata, neneknya itu memahami tujuan suntikan vaksin COVID-19 setelah diberi penerangan oleh ahli keluarga.

 

Beliau berkata, wanita itu juga tidak membantah selepas diberitahu yang dia perlu disuntik malah memberi kerjasama baik ketika dibawa ke PPV hari ini.

 

“Setiap kali menonton televisyen dan ada iklan atau berita yang memaparkan tentang Covid-19, kami akan beritahu dia tentang bahaya wabak itu dan kenapa vaksin perlu diambil.

 

“Nenek setuju dan tidak menunjukkan rasa takut pun. Dia memang seorang yang kuat semangat, suntikan ini pun bagus untuk dia sebagai pertahanan diri menentang wabak berbahaya itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

 

tepeng
K. LETCHEMY bersama cucunya K. Thangamani selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Hospital Columbia Asia, Taiping. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI

 

 

Thangamani berkata, dia yang menjaga warga emas itu sejak 20 tahun lalu berasa lega dan gembira kerana wanita itu telah divaksinasi.

 

“Nenek merupakan individu penting dan berharga kepada kami. Walaupun dia tidak mempunyai penyakit berbahaya namun kesihatannya perlu dipantau.

 

“Sebagai cucu, saya mahu dia sihat dan tidak mahu dia dijangkiti Covid-19. Saya betul-betul lega. Proses vaksin di sini juga berjalan lancar dan saya amat berpuas hati,” katanya.

 

Sementara itu, Pengurus Besar Hospital Columbia Asia, Mohd. Shafee Awang berkata, sejak PPV hospital itu dilancarkan 5 Julai lalu, sebanyak 3,200 dos vaksin telah diberikan kepada penerima di sekitar daerah berkenaan.

 

“Sebelum ini, kapasiti vaksinasi di PPV ini hanya kira-kira 100 dos vaksin sehari namun dalam dua minggu lepas dinaikkan kepada 200 dos vaksin.

 

“Ini ekoran peningkatan kes jangkitan di Perak yang makin tinggi dan kita berharap PPV ini dapat membantu warga Taiping mendapatkan vaksin secepat mungkin,” katanya. - DagangNews.com