WAO melancarkan Kempen #JenayahkanMenghendap bersama para pempengaruh | DagangNews Skip to main content

WAO melancarkan Kempen #JenayahkanMenghendap bersama para pempengaruh

SEBAGAI sebahagian daripada usaha untuk menjadikan tindakan menghendap (stalking) sebagai satu jenayah di Malaysia, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) telah melancarkan kempen kesedaran #JenayahkanMenghendap.

 

Kempen ini dilakukan dengan kerjasama 5 individu pempengaruh yang terkenal termasuklah Perunding Komunikasi, Wartawan Penyiaran & Aktivis Kesaksamaan Jantina, Tehmina Kaoosji; Hos dan Juruacara TV, Ben Ibrahim; Personaliti TV, Daphne Iking; Penyanyi dan Penerbit, Vince Chong; serta Hos Penyiaran, Freda Liu.

 

Kempen media sosial ini merupakan susulan kepada pembentangan cadangan pindaan Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022 di Parlimen – yang akan menjadikan tindakan menghendap sebagai satu jenayah serta Rang Undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No. 2) 2022 – yang memberikan perintah perlindungan kepada mangsa tindakan menghendap pada 4 Ogos 2022.

 

Di bawah peruntukan ini, seseorang itu dianggap telah melakukan kesalahan menghendap “jika orang itu berulang kali dengan apa-apa tindakan gangguan, berniat untuk menyebabkan atau mengetahui atau patut tahu, bahawa perbuatan tersebut menyebabkan kesusahan, ketakutan atau kebimbangan kepada mana-mana orang berhubung keselamatan diri mereka”. Jika diluluskan, mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

 

Menurut Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) Sumitra Visvanathan, “Menghendap pada masa ini bukan satu jenayah di Malaysia dan tiada peruntukan undang-undang untuk mangsa bagi mendapatkan perintah sekatan.

 

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh WAO dan Vase.ai mendedahkan bahawa lebih 20% daripada rakyat Malaysia pernah mendengar tentang menghendap dan tidak menganggap tindakan ini salah. Statistik ini amat merisaukan.

 

Walaupun kesedaran dan perbincangan awam tentang keganasan rumah tangga dan serangan seksual telah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pemahaman tentang istilah menghendap masih rendah.

 

"Menerusi kempen kesedaran #JenayahkanMenghendap, kami berharap dapat memanfaatkan jangkauan dan penglibatan para pempengaruh popular untuk menggalakkan orang ramai bercakap secara terbuka tentang pengalaman mereka dan mengetahui lebih mendalam tentang undang-undang.

 

"Selain seruan untuk mengubah perundangan, kami percaya bahawa tindakan masyarakat secara kolektif diperlukan untuk menghentikan tindakan menghendap,” tambah Sumitra.

 

Sebagai sebahagian daripada kempen kesedaran #JenayahkanMenghendap, WAO bekerjasama rapat dengan pempengaruh untuk mningkatkan ksedaran tentang tindakan menghendap dan cadangan undang-undang anti-menghendap melalui platform media sosial seperti LinkedIn, Instagram, Facebook dan TikTok.

 

Personaliti TV Daphne Iking melihat kepentingan mendidik rakyat Malaysia terutamanya golongan belia tentang kesedaran dan pencegahan menghendap. “Di Malaysia, menghendap sering dilihat sebagai hal peribadi dan persendirian.

 

Ramai yang takut dan jarang dibincangkan. Kempen kesedaran awam amat diperlukan kerana ramai orang yang mengalami keganasan tidak begitu pasti sama ada apa yang mereka alami merupakan satu jenayah, dan oleh itu mereka tidak melaporkannya.

 

"Terdapat juga kes di mana mangsa mahu membunuh diri. Saya berpendapat sudah tiba masanya untuk Malaysia mengambil tindakan dan menjadikan menghendap sebagai satu jenayah,” kata Iking.  

 

“Menghendap sangat berleluasa di Malaysia. Walaupun kebanyakan mangsa menghendap ialah wanita, lelaki juga boleh menjadi mangsa jenayah ini!  Malangnya, ramai di antara mereka berasa malu untuk mendapatkan bantuan disebabkan faktor individu, sosiobudaya dan stereotaip jantina yang membentuk persepsi,” kata Hos dan Juruacara TV, Ben Ibrahim.

 

WAO turut mencadangkan tiga pindaan yang akan memperkemas Rang Undang-undang, iaitu:

  1. Meluaskan definisi menghendap untuk memasukkan kelakuan yang berterusan
  2. Memasukkan doxing atau dedah maya, campur tangan dengan harta benda dan mengintip ke dalam senarai tindakan gangguan, dan
  3. Memanjangkan tempoh perintah perlindungan menghendap.

 

Pada penghujung tahun lepas, WAO telah menyerahkan memorandum yang ditandatangani oleh lebih 50 buah pertubuhan masyarakat dan petisyen (yang kini ditandatangani oleh lebih 11,000 orang) yang menggesa Kerajaan Malaysia untuk menjadikan tindakan menghendap sebagai jenayah.

 

Petisyen dalam talian boleh didapati di laman web change.org atau kunjungi pautan ini https://www.change.org/p/lindungi-mangsa-stalking-di-malaysia. - DagangNews.com