Wartawan merupakan wira tidak didendang ketika dunia dilanda COVID-19 - Perdana Menteri | DagangNews Skip to main content

Wartawan merupakan wira tidak didendang ketika dunia dilanda COVID-19 - Perdana Menteri

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Dis -  Wartawan merupakan wira tidak didendang ketika negara dan dunia dilanda wabak COVID-19, dengan menyedia dan menyalurkan maklumat berkaitan pandemik kepada masyarakat.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, wartawan sanggup mengharungi bahaya termasuk merisikokan diri berdepan wabak berkenaan demi melaksanakan tugas bagi  memastikan rakyat yang terkurung di rumah akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) mendapat maklumat dan mampu mengikuti perkembangan semasa tanah air serta luar negara.

 

“Tanpa wartawan, mustahil berita-berita dan maklumat penting dapat disebar luas dengan cepat dan pantas termasuk sidang media COVID-19 yang dilaksanakan hampir setiap hari.

 

“Oleh kerana sumbangan besar para wartawan kepada negara, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada para wartawan sebagai sebahagian daripada petugas barisan hadapan sewaktu pandemik ini," katanya ketika berucap pada Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2021.

 

Ismail Sabri berkata, tugas wartawan bukan sekadar melaporkan berita panas dan hangat tentang politik, berita kemalangan, malapetaka, tragedi atau sensasi sukan dan hiburan, malah mampu menjadi mata serta telinga dalam membantu kerajaan memastikan kelangsungan dan kejayaan rancangan pembangunan untuk rakyat.

 

"Saudara dan saudari semua boleh membuat teguran yang bernas dan berasas bagi membantu kerajaan menyampaikan khidmat terbaik kepada rakyat selaras dengan konsep Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

 

“Pastinya media yang bebas dan terbuka, serta bertanggungjawab adalah mekanisme semak dan imbang yang menjadi teras konsep Keluarga Malaysia. Peranan media hendaklah senantiasa dimantapkan,” katanya.

 

Dalam pada itu, Perdana Menteri percaya, media tradisional masih mempunyai tempat dan relevan dalam menyampaikan hasrat kerajaan kepada rakyat termasuk dalam usaha bersama menjayakan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan dalam pentadbiran kerajaan hari ini.
 

Beliau berkata, beliau maklum dan sedar tentang pelbagai cabaran yang dihadapi syarikat dan ramai pengamal media pada masa ini akibat berhadapan dengan asakan teknologi komunikasi baharu.

 

Ismail Sabri berkata, keadaan itu menyebabkan banyak organisasi media tidak mampu bertahan, malah ada yang terpaksa ditutup kerana jualan akhbar dan iklan semakin merosot di samping kos percetakan serta pengangkutan kian meningkat.

 

“Kewartawanan tradisional yang melalui proses pengesahan, penyuntingan yang ketat,  pastinya menghasilkan berita yang benar atau sahih dan sekaligus membolehkan rakyat memahami konsep sebenar Keluarga Malaysia atau dasar kerajaan yang lain.

 

“Justeru, saya percaya rakyat masih menaruh keyakinan pada kredibiliti wartawan dalam situasi seperti itu, ini kerana sesetengah blog tidak lebih daripada berita yang niatnya untuk mensensasikan maklumat yang tidak tepat. Media yang menyajikan berita-berita yang profesional, adil, sahih, menarik dan terkini, akan berjaya,” katanya.

 

Sementara itu, perdana menteri berkata lawatannya ke Indonesia baru-baru ini membantu mengeratkan hubungan dengan Ikatan Setiakawan Wartawan MalaysiaIndonesia (ISWAMI) yang telah terjalin sejak 2007, dan percaya ISWAMI dapat memainkan peranan penting sebagai jambatan penghubung bagi wartawan kedua-dua negara.

 

Ismail Sabri berharap hubungan media dan wartawan Malaysia bersama rakan wartawan di negara jiran melalui ASEAN atau selainnya dapat diperkukuh dengan menjadikan ISWAMI sebagai model.

 

“Saya mencadangkan agar satu rangkaian kerjasama serantau membabitkan para wartawan pada peringkat serantau dapat diperkasa demi memudahkan capaian kesefahaman antara negara. Media dan wartawan adalah rangkaian persefahaman secara tidak langsung, selain daripada hubungan diplomatik sedia ada.

 

Selain itu, Ismail Sabri turut mengumumkan persetujuan kerajaan untuk mengekalkan tarikh 29 Mei setiap tahun sebagai Hari Wartawan Nasional atau HAWANA, yang pertama kali telah dijayakan pada tahun 2018. - DagangNews.com