KUALA LUMPUR 13 Jun - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengunjurkan bahawa Wasco Bhd berkemungkinan mengembalikan semula pengagihan dividen pada tahun ini sejak kali terakhir dilakukan pada 2020.
Katanya, kumpulan itu bersedia untuk menerima manfaat daripada anggaran pemasangan 196,000km saluran paip minyak dan gas baharu bermula 2023 hingga 2030.
Firma penyelidikan itu berkata, buku pesanan kumpulan itu berjumlah RM3.2 bilion selain buku tendernya yang besar sebanyak RM7.3 bilion.
"Pengurusan melihat bahawa buku pesanan yang kukuh akan kekal pada RM3 bilion hingga RM3.5 bilion pada tahun-tahun akan datang, memandangkan penambahan kerja yang sangat ketara untuk menggantikan saluran paip sedia ada.
“Wasco melihat banyak peluang dalam ruang peralihan tenaga, memandangkan permintaan yang tinggi untuk saluran paip bagi memudahkan aktiviti CCS (penangkapan dan penyimpanan karbon) dan pengangkutan hidrogen.
“Sementara itu, bahagian kejuruteraannya disokong oleh pesanan kerja yang mencukupi, berikutan perbelanjaan modal yang semakin meningkat merentasi sektor minyak dan gas," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.
HLIB berkata, segmen kejuruteraan kumpulan itu termasuk pembinaan modul untuk FPSO (unit penyimpanan dan pemunggahan pengeluaran terapung) dan Mopu (unit pengeluaran luar pesisir mudah alih), serta loji gas dan pencawang, antara lain.
Katanya, Wasco menjangkakan purata lapan hingga 12 FPSO akan dibina setiap tahun dalam tempoh lima tahun akan datang, sebagai tambahan kepada peningkatan FID (keputusan pelaburan akhir) yang dijangkakan untuk Mopu dan pelbagai kemudahan LNG (gas asli cecair).
"Walaupun prospek kumpulan dalah positif untuk menyampaikan pendapatan kukuh pada suku akan datang namun mereka telah mengehadkan skop pertumbuhan selanjutnya pada masa hadapan, kerana buku pesanannya dijangka kekal pada tahap semasa.
"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga saranan (TP) RM1.53 sesaham," katanya. - DagangNews.com