Ketua Pegawai Eskekutif Wasiyyah Shoppe, Ariffin Sabirin
KUALA LUMPUR 8 Dis. - Wasiyyah Shoppe Berhad, syarikat amanah patuh syariah terbesar di Malaysia dengan nilai aset pelanggan yang akan dibantu urus mencecah nilai RM 35 bilion, hari ini melancarkan sistem latihan dalam talian bagi perundingnya.
Menurut Ketua Pegawai Eskekutifnya, Ariffin Sabirin, permintaan semakin tinggi dari perunding kewangan dan juga orang awam yang berminat untuk menyertai Wasiyyah Shoppe sebagai perunding serta aspek penjarakan sosial yang menjadi satu keperluan ketika musim pandemik COVID-19 ini, menyebabkan wujudnya kekangan untuk mengadakan latihan secara fizikal seperti diamalkan syarikat sebelum ini.
Katanya, kewujudan sistem ini membolehkan perunding menyertai program latihan secara dalam talian tanpa hadir latihan secara fizikal atau bertemu dengan pihak Wasiyyah.
"Pendaftaran sebagai perunding boleh dibuat secara atas talian. Mereka juga boleh memilih modul latihan mana yang mereka ingin sertai dan melalui modul-modul latihan ini pada bila-bila masa yang mereka berkelapangan di rumah sendiri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ariffin berkata, Wasiyyah Shoppe menjangkakan seramai 2,000 perunding boleh dilatih setiap bulan melalui pelancaran sistem dalam talian ini berbanding 400 sebelum ini.
Sejak pandemik COVID-19 melanda Malaysia pada Mac lalu, Wasiyyah Shoppe berdepan dengan situasi di mana terdapat lonjakan permintaan dari masyarakat Malaysia ke atas perkhidmatan perancangan hartanya.
Peningkatan permintaan ini juga menyebabkan permintaan untuk menjadi perundingnya juga meningkat secara mendadak.
"Permintaan yang semakin tinggi untuk perkhidmatan ini menyebabkan Wasiyyah Shoppe memerlukan lebih ramai perunding di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak," katanya.
Sebagai syarikat pertama di dalam industri perancangan harta secara syariah yang mewujudkan peluang keusahawanan secara sistematik di dalam bidang ini sejak 2004, Wasiyyah Shoppe telah membina pelbagai modul latihan yang mampu menjadikan perundingnya cekap dari segi teknikal undang-undang syariah dan sivil berkaitan isu-isu pewarisan harta orang Islam.
Menurut Ariffin, Wasiyyah Shoppe ialah syarikat yang berorientasikan pengetahuan dan kerana itu memberi tumpuan yang sangat serius kepada aspek latihan perundingnya.
Katanya, Wasiyyah Shoppe sentiasa menekankan betapa perundingnya mestilah membawa maklumat yang jelas, tepat dan telus kepada masyarakat dalam urusan penghartaan.
Pelancaran sistem latihan dalam talian ini diyakini dapat membantu aspek latihan ini.
“Perunding Wasiyyah Shoppe yang telah menjalani latihan intensif kami, kini ada yang mampu menikmati pendapatan lumayan walaupun dalam keadaan ekonomi mencabar sekarang. Kerjaya ini adalah kerjaya kalis COVID-19," katanya.
Bagi menggalakan penyertaan sebagai perunding, Wasiyyah Shoppe kini menawarkan diskaun pendaftaran 50% sehingga 31 Disember 2020 kepada sesiapa yang mendaftar.
"Jika sebelum ini pendaftaran memerlukan yuran sebanyak RM800 bagi mendapat keistimewaan sebagai perunding, kini masyarakat hanya perlu membayar RM400 sahaja," katanya.
Bagi penyertaan dari Sabah dan Sarawak pula, yuran pendaftaran hanya RM250 sepanjang tempoh berkenaan.
Wasiyyah Shoppe menjangkakan pengenalan sistem ini dapat membantunya untuk memberi latihan secara sistematik kepada semua perundingnya di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Ariffin berkata, mulai 2021, Wasiyyah Shoppe juga mensasarkan untuk membuka peluang keusahawanan ini kepada perunding dari luar negara selaras dengan strategi pengantarabangsaannya.
“Alhamdulillah di saat keadaan ekonomi yang semakin mencabar ketika ini, Wasiyyah Shoppe mencatat keuntungan yang semakin baik dari tahun ke tahun.
"Malah, prestasi kewangan kami bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2020 meningkat 200% berbanding keuntungan tahun kewangan sebelumnya," katanya. - DagangNews.com