Waspada skim pelaburan meragukan guna nama syarikat perancang kewangan sah - FPAM | DagangNews Skip to main content

Waspada skim pelaburan meragukan guna nama syarikat perancang kewangan sah - FPAM

KUALA LUMPUR 13 April - Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM) menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan skim pelaburan meragukan yang menggunakan nama syarikat perancangan kewangan yang sah.

 

FPAM berkata, pihak terbabit akan menggunakan nama utama syarikat perancangan kewangan dalam syarikat palsu untuk mengelirukan orang ramai selain melibatkan mereka dalam kumpulan sembang media sosial dengan berpura-pura mewakili syarikat perancangan kewangan yang sah.

 

"Mereka turut menawarkan skim pelaburan meragukan yang menawarkan pulangan tinggi dan berkongsi testimoni pelabur palsu untuk menunjukkan bukti resit pemindahan dan membuat keuntungan untuk meraih keyakinan mangsa berpotensi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Bernama.

 

Menurut persatuan itu, nama sembilan syarikat perancangan kewangan yang kesemuanya adalah ahli FPAM, diklon untuk mempromosikan skim yang menyalahi undang-undang.

 

“Nama sebenar syarikat adalah Wealth Vantage Advisory Sdn. Bhd., Genexus Advisory Sdn. Bhd., Excellentte Consultancy Sdn. Bhd., Alpine Advisory Sdn. Bhd., UOB Kay Hian Securities (M) Sdn. Bhd., CC Advisory Sdn. Bhd., Harveston Wealth Management Sdn. Bhd., iFast Capital Sdn. Bhd. dan Kenanga Investors Berhad,” katanya.

 

Bagi melindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan, FPAM menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) senarai individu berlesen dan berdaftar selain membuat semakan dengan syarikat perancangan kewangan tersebut sebelum membuat sebarang pembayaran atau pelaburan.

 

“Mangsa penipuan hendaklah segera melaporkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 dan turut membuat laporan kepada SC,” katanya. - DagangNews.com