Wawasan Open University tawarkan 80 kursus Gen AI kepada pelajar  | DagangNews Skip to main content

Wawasan Open University tawarkan 80 kursus Gen AI kepada pelajar 

Wawasan open University / Gambar dari laman Linkedin universiti
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Sept - Wawasan Open University (WOU) menawarkan 80 kursus Generatif kecerdasan buatan (Gen AI) kepada semua pelajar universiti termasuk pelajar baharu bagi melengkapkan mereka dengan kemahiran penting dalam ekonomi digital.

 

Kursus tersebut meliputi topik berkaitan kecerdasan buatan (AI) dari asas hingga aplikasi lanjutan dalam bidang perniagaan, transformasi digital dan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik).

 

Universiti itu berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmennya untuk menyediakan pendidikan yang fleksibel dan berkualiti tinggi bagi memastikan pelajarnya bukan sahaja bersedia untuk tenaga kerja hari ini tetapi juga bersedia untuk masa hadapan dalam landskap perniagaan.

 

Menurut Ketua Eksekutif dan Naib Canselor WOU, Prof Dr Lily Chan berkata, AI kini berdiri di barisan hadapan dalam inovasi teknologi, memacu tahap pelaburan dan mengubah industri perniagaan di Malaysia.

 

"Di Malaysia, kadar pertumbuhan pasaran AI tahunan dijangka menjana sebanyak 31% dari 2024 hingga 2032 dan unjuran nilai pasaran sebanyak AS$3.23 bilion dalam pembelajaran mesin, perlombongan data dan analisis," ujar beliau. 

 

"Oleh itu, WOU memperkenalkan rangkaian komprehensif kursus Gen AI untuk membantu pelajar menangani peningkatan yang dijangkakan dalam permintaan untuk tenaga kerja mahir AI negara. 

 

"Inisiatif program AI kami juga bersesuaian dengan Pelan Tindakan MyDigital kerajaan untuk mengukuhkan ekosistem AI dan untuk memupuk pemula AI sebagai sebahagian daripada pelan hala tujunya untuk menjadi peneraju ekonomi digital di rantau ini," ujar beliau. 

 

WOU berkata, setiap satu daripada kursus Gen AI menawarkan peluang unik untuk membangunkan kepakaran dan pengetahuan dalam AI termasuk asas kukuh, AI dalam pemasaran, menggunakan analisis data lanjutan ChatGPT bagi meningkatkan produktiviti serta kursus memanfaatkan AI dalam perniagaan.

 

Di samping itu, kurikulum kursus Gen AI WOU dibangunkan dengan kerjasama Coursera, pemimpin yang diiktiraf di peringkat global dalam pendidikan dalam talian.

 

Kata WOU, perkongsian itu memastikan kursus WOU berada di barisan hadapan pendidikan AI dan mematuhi piawaian antarabangsa tertinggi. 

 

"Kepakaran dan sumber Coursera yang luas melengkapkan komitmen WOU untuk menyampaikan pendidikan bertaraf dunia, memberikan pelajar akses kepada beberapa kursus AI paling maju yang tersedia hari ini,"ujar WOU.- DagangNews.com