WCE raih kutipan tol RM26 juta Q1FY2025, meningkat 93% | DagangNews Skip to main content

WCE raih kutipan tol RM26 juta Q1FY2025, meningkat 93%

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Ogos - WCE Holdings Bhd mencatatkan hasil kutipan tol sebanyak RM26.1 juta  pada suku pertama tahun kewangan 2025 (Q1FY2025)  peningkatan sebanyak 93% daripada RM13.5 juta pada Q1FY2024.

 

Menurut WCE, peningkatan tersebut didorong oleh kenaikan purata trafik harian sebanyak 115% berikutan pembukaan Seksyen 6 (Bandar Bukit Raja Utara-Assam Jawa) dan Seksyen 11 (Beruas – Taiping Selatan) pada FY2024. 

 

Kumpulan itu juga berkata, pembukaan seksyen 6 dan seksyen 11 tersebut merupakan sebahagian daripada Lebuhraya Pantai Barat yang merentasi 233 kilometer meliputi Banting, Selangor hingga ke Taiping, Perak.

 

"Pembukaan terbaru ini telah meningkatkan jumlah trafik, kami menyaksikan jumlah trafik harian mencecah 350,000 kenderaan semasa tempoh puncak sambutan Hari Raya pada April 2024," ujarnya dalam kenyataan hari ini. 

 

Selan itu, hasil WCE sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat sebanyak 147% kepada RM18.1 juta pada Q1FY2025, berbanding dengan RM7.3 juta pada Q1FY2024.

 

Di samping itu, Kumpulan tersebut mencatatkan hasil sebanyak RM75.6 juta bagi Q1FY2025, mewakili penurunan 35% berbanding RM116 juta pada Q1FY2024. 

 

"Penurunan tersebut didorong oleh  aktiviti pembinaan yang lebih rendah pada Q1FY2025 selepas dua bahagian Projek Lebuhraya Pantai Barat (WCE) telah disiapkan pada tahun kewangan sebelumnya," ulasnya. 

 

Kumpulan itu juga melaporkan pertumbuhan stabil dalam bahagian tol semasa segmen konsesinya. 

 

Ia melaporkan peningkatan sebanyak 93% dalam hasil kutipan tol untuk Q1FY2025 berbanding suku tahun sebelumnya, didorong oleh volum trafik yang lebih tinggi berikutan pembukaan dua bahagian tambahan.

 

Sebaliknya, hasil bagi pembinaan segmen konsesi menurun sebanyak 59% berbanding Q1FY2024, mencerminkan pembinaan bahagian 6 dan 11 dalam Projek WCE pada tahun sebelumnya.

 

Sementara tu, WCE mengumumkan Seksyen 1 (Banting – Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE)) dijadualkan dibuka pada 30 Ogos 2024, manakala Seksyen 2 (SKVE – Lebuhraya Shah Alam (SAE)) dijangka dibuka dalam masa terdekat.