Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 Ogos - WCT Holdings Berhad difahamkan sedang berusaha untuk dapatkan pakej kerja-kerja sivil daripada projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah.
Bagi penganalisis di CGS-CIMB Research, Sharizan Rosely, pasaran domestik akan terus menjadi pemacu utama segmen perniagaan pembinaan kumpulan pada separuh kedua tahun kewangan 2021 (2HFY21).
“Setakat ini, kumpulan telah menghantar beberapa tender dan sedang bersedia untuk menghantar tender baharu.
“Secara keseluruhannya, saiz buku tender kumpulan bernilai RM10 bilion. Berdasarkan andaian jumlah kontrak yang dimenangi sebanyak RM1.5 bilion bagi FY21, dan jumlah kontrak yang diperoleh WCT setakat ini bernilai RM1.1 bilion, kumpulan mampu mendapatkan RM383 juta nilai kontrak baharu pada 2H21.
“Kami percaya kumpulan ketika ini sedang berusaha mendapatkan pakej kerja-kerja sivil daripada projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah. Setakat penghujung Jun, pesanan bukunya berjumlah RM5.4 bilion,” jelas Sharizan dalam satu nota kajian.
Setakat 4 Mac lalu, projek itu menunjukkan kemajuan positif apabila masing-masing mencapai kemajuan 60% di Sarawak dan 45% di Sabah.
Menteri Kanan Kerja Raya ketika itu, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, bagi projek Pan Borneo Sarawak, keseluruhan 11 pakej kerja dari Telok Melano ke Miri masih giat dilaksanakan, melibatkan kos pembinaan sebanyak RM16.117 bilion.
Susulan penamatan Rakan Pelaksana Projek (PDP) pada 20 Feb 2020, pelaksanaan projek diteruskan menggunakan kaedah konvensional dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak sebagai Superitending Officer (pegawai penguasa).
Bagi projek di Sabah, sebanyak 11 daripada keseluruhan 35 pakej kerja sedang giat dilaksanakan dengan status 45% siap setakat 4 Mac 2021, manakala lima pakej kerja sedang di peringkat perancangan dan perolehan dan dijangka mula pembinaan pada tahun ini.
Kos pembinaan bagi 15 daripada 35 pakej kerja melibatkan nilai RM7.075 bilion.
Menurut Sharizan lagi, WCT mengekalkan sasaran jualan hartanah bagi tahun kewangan semasa berjumlah RM1 bilion dan telah mencapai RM362 juta jualan setakat penghujung Jun.
Secara keseluruhannya, CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ saham WCT dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar 70 sen sesaham. - DagangNews.com