KUALA LUMPUR 15 Julai - Webull Securities Malaysia Sdn Bhd mengumumkan pelantikan Farah Jaafar sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Webull Malaysia baharu.
Dengan 30 tahun pengalaman industri perniagaan, beliau memperoleh pelbagai pandangan melalui peranannya dalam pelbagai kepimpinan pasaran modal dan organisasi perkhidmatan kewangan.
Selain itu, Farah merupakan Naib Presiden Persatuan FinTech Malaysia, sebuah organisasi memajukan dasar, perundangan dan peraturan negara dalam fintech serta mempercepatkan inovasi dalam sektor kewangan negara.
Farah juga merupakan bekas CEO Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan, hab kewangan antarabangsa terulung.
Menurut kenyataan media WeBull Malaysia, syarikat itu mengalu-alukan pelantikan Farah sebagai lembaga pengarah syarikat itu serta berhasrat mengembangkan komuniti pelabur dan membawa peluang pelaburan yang sama kepada rakyat Malaysia.
CEO Webull Malaysia, Kenneth Chan berkata syarikat komited untuk mensinergikan teknologi dengan kewangan sekaligus menyediakan perkhidmatan yang selamat, boleh dipercayai dan pintar.
“Kepakaran, pandangan dan pengalaman fintech luas Farah akan menjadi sangat berharga dalam usaha kami menjadikan pelaburan sebagai kemahiran sepanjang hayat yang menyeronokkan dan boleh dipercayai dalam kalangan rakyat Malaysia,” tambah beliau.
Sementara itu, Farah berkata tumpuan syarikat itu dalam pendidikan pelabur dan penyelesaian fintech tercanggih membawa dimensi yang amat diperlukan kepada pasaran modal Malaysia.
“Keupayaan kami untuk menawarkan akses kepada pasaran ekuiti dan derivatif global akan menyediakan kepelbagaian portfolio pelaburan yang amat diperlukan untuk semua pelabur Malaysia.”
“Saya teruja untuk menyumbangkan pengalaman unik saya dalam fintech, pembrokeran saham warisan dan kewangan antarabangsa, dan menyokong kepelbagaian dalam bilik lembaga,” ujarnya.
Dilancarkan pada Mei 2024, Webull Malaysia adalah platform pelaburan digital yang menyediakan akses kepada pelabur dari semua peringkat memperdagangkan kontrak sekuriti dan derivatif tersenarai Bursa seperti FCPO, FKLI, saham tersenarai AS dan dana dagangan bursa (ETF) melalui aplikasi Webull Malaysia.
Webull Malaysia bekerjasama dengan Elzar Shariah Solutions & Advisory untuk menyediakan penyaringan saham tersenarai AS dan dana dagangan bursa (ETF) ditawarkan di platform - saham patuh syariah ditandakan dengan ikon bulan sabit ungu.- DagangNews.com