Well Chip sasar kumpul RM172.5 juta daripada IPO Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Well Chip sasar kumpul RM172.5 juta daripada IPO Pasaran Utama Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jun - Well Chip Group Bhd yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan pajak gadai dan perdagangan barang kemas menyasarkan untuk mengumpul RM172.5 juta daripada pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO), menjelang penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

Menurut prospektusnya, dengan harga IPO RM1.15 sesaham kaunter itu mempunyai gandaan harga perolehan sebanyak 19.54 kali, berdasarkan pendapatan sesaham 5.89 sen atau untung bersih RM35.32 juta bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2023 (FY23).

 

Syarikat bercadang untuk mengesyorkan dan mengagihkan dividen sekurang-kurangnya 35% daripada keuntungan disatukan selepas cukai yang dikaitkan dengan pemegang sahamnya untuk tiga tahun kewangan pertama selepas penyenaraiannya.

 

IPO terdiri daripada terbitan 150 juta saham biasa baharu, mewakili 25% daripada modal saham yang diperbesarkan.

 

Sejumlah 30 juta saham baharu akan disediakan kepada orang ramai Malaysia, manakala 75 juta saham baharu akan disediakan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian (MITI).

 

Baki 45 juta saham akan disediakan kepada pelabur institusi dan terpilih melalui penempatan persendirian.

 

Well Chip merancang untuk menggunakan 72% daripada hasil, atau RM124.3 juta, sebagai modal tunai untuk 23 pajak gadai sedia ada. Ia juga akan menggunakan 23.2% daripada hasil, atau RM40 juta, untuk pembesaran pajak gadai manakala baki akan digunakan untuk membayar perbelanjaan penyenaraian.

 

Permohonan akan ditutup pada 10 Julai. Well Chip dijadualkan untuk penyenaraian pada 23 Julai 2024.

 

Selepas IPO disenaraikan, modal saham Well Chip yang diperbesarkan akan meningkat kepada RM344.15 juta yang terdiri daripada sejumlah 600 juta saham.

 

Kenanga Investment Bank Bhd merupakan penasihat utama, penaja jamin pengurusan, serta penaja jamin bersama dan ejen penempatan bersama untuk latihan itu. 

 

CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd juga bertindak sebagai penaja jamin bersama dan ejen penempatan bersama. - DagangNews.com