Wellcall hadapi kesukaran naikkan harga jualan berdasarkan status pengeluar produk OEM | DagangNews Skip to main content

Wellcall hadapi kesukaran naikkan harga jualan berdasarkan status pengeluar produk OEM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Jun - CGS-CIMB Research menjangkakan Wellcall Holdings Berhad memiliki ruang terhad untuk meningkatkan harga jualannya selepas mengambil kira kedudukannya selaku pengeluar produk tulen (OEM).

 

Firma itu berkata, kumpulan itu berdepan kenaikan bahan mentah yang menyumbang antara 55% hingga 65% kos keseluruhan terutama getah asli dan getah sintetik sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

 

"Kumpulan itu menyasarkan untuk menigimbangi kenaikan kos itu dengan mengambil beberapa pendekatan termasuk membeli bekalan secara pukal danmembuat rundingan harga bersama pembekal.

 

"Selain itu mereka akan memastikan bekalan inventori mereka berada pada paras tertinggi sepanjang masa dan meningkatkan harga jualan bagi menampung sebarang kenaikan kos tambahan.

 

"Bagaimanapun selaku pengeluar barangan OEM, mereka sukar untuk menaikkan harga kerana perlu memastikan harga produk mereka kekal kompetitif pada sepanjang masa di pasaran," katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

Firma itu berkata, Wellcall berjaya beroperasi pada kapasiti maksimum namun tetap menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja dan mereka mengambil keputusan untuk mengambil tenaga kerja tempatan untuk menangani isu itu.

 

Tindakan itu dilihat akan meningkatkan kos tenaga kerja akibat kesan daripada pengenalan kadar gaji minimum.

 

"Selain masalah itu, kumpulan itu juga berdepan peningkatan kos akibat pasaran tidak stabil dan perubahan jadual penghantaran yang menyebabkan kelewatan penghantaran produk kepada pelanggan," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran RM1.18 selepas mengambil kira permintaan yang kuat untuk produknya. - DagangNews.com