West River failkan permohonan IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi pembinaan kilang baharu | DagangNews Skip to main content

West River failkan permohonan IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi pembinaan kilang baharu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Ogos - West River Bhd, sebuah firma kejuruteraan tempatan memfailkan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE bagi mengumpul dana untuk pembinaan sebuah kilang yang juga akan berfungsi sebagai gudangnya.

 

IPO yang dicadangkan itu melibatkan terbitan awam sebanyak 71.54 juta saham baharu dan tawaran penjualan 35.77 juta saham sedia ada pada harga yang akan ditentukan kemudian, menurut draf prospektusnya yang difailkan kepada Bursa Malaysia. 

 

Secara keseluruhannya, penyenaraian menawarkan pelabur sehingga 30% kepentingan dalam syarikat itu.

 

"Aktiviti pembuatan kumpulan kini berpusat di luar kilangnya, yang mempunyai keluasan binaan 2,088 kaki persegi, di Bandar Teknologi Kajang di Selangor, dan syarikat itu merancang untuk memperoleh tanah bagi membina kemudahan baru seluas 35,000 kaki persegi.

 

"Ia akan menyediakan ruang yang mencukupi untuk menjalankan aktiviti pembuatannya dan mengatur penyimpanan inventori berkaitan projek kejuruteraan mekanikal dan elektrik (M&E) dengan lebih baik, seperti kabel, wayar dan alat ganti," katanya.

 

West River menyediakan perkhidmatan kejuruteraan M&E selain terlibat dalam kejuruteraan elektrik dan perkhidmatan penyaman udara dan pengudaraan serta penyediaan rumusan bangunan hijau seperti kawalan automatik ke atas lampu dan sistem lain.

 

Syarikat itu kini mempunyai 33 kontrak yang masih berkuatkuasa dengan jumlah buku pesanan belum dibilkan sebanyak RM196.09 juta. 

 

Pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, West River memperoleh untung bersih sebanyak RM10.24 juta daripada hasil sebanyak RM125.24 juta.

 

"Menerusi terbitan IPO, syarikat itu memperuntukkan 17.89 juta saham kepada orang awam Malaysia, 8.94 juta saham kepada orang yang layak, dan 44.71 juta saham kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan.

 

"Perolehan yang diperoleh daripada IPO akan digunakan untuk membiayai sebahagian perolehan tanah yang menelan belanja RM5.81 juta. Syarikat itu juga akan mengetepikan sebahagian daripada dana untuk pembayaran balik pinjaman, modal kerja am, dan untuk membayar perbelanjaan penyenaraian," katanya.

 

Sementara itu, tranche tawaran untuk jualan akan dikeluarkan secara persendirian untuk memilih pelabur dan sebarang hasil akan terakru sepenuhnya kepada pemegang saham jualan Neutron Capital Sdn Bhd, yang dikawal sepenuhnya oleh pengarah urusan West River, Lim Yong Lai.

 

M&A Securities merupakn penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan IPO. - DagangNews.com