Westports, Northport dijangka bina pelabuhan rantau Asia | DagangNews Skip to main content

Westports, Northport dijangka bina pelabuhan rantau Asia

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 22 Mac - Syarikat pengurus operasi pelabuhan, Westports Holdings (Westports) dijangka akan membina pelabuhan dalam rantau Asia dan pusat pemunggahan baharu.

 

Ia susulan daripada pembelian 50% terminal pelayaran Boustead Cruise Center (BCC) yang merangkumi bangunan terminal PKCC, jeti, tempat letak kereta terbuka serta enam bidang tanah kosong.

 

CGS-CIMB Research berkata, rancangan tersebut dijangka akan dijalankan bersama Northport (Malaysia) Bhd. 

 

"Westport dan Northport boleh mengubah dan membina kawasan itu menjadi pelabuhan dalam rantau Asia dan pusat pemunggahan baharu dengan kemudahan kawasan kontena di tanah kosong.

 

"Sekiranya Westports ingin mengekalkan perniagaan terminal pelayaran itu, ia mungkin perlu mengeluarkan wang untuk tujuan pembaikan terminal kerana bangunan tersebut sudah usang," jelas CGS-CIMB Research.

 

Pada 19 Mac baru-baru ini, Westports mengumumkan perancangannya untuk membeli 50% terminal pelayaran Boustead Cruise Center (BCC) daripada Boustead Holdings Bhd (BOUS).

 

Baki 50% lagi dibeli oleh Klang Port Management Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat milik penuh Northport (Malaysia) Bhd. 

 

Melalui pembelian tersebut, Westports akan membayar RM115 juta (50%) daripada jumlah pembelian keseluruhan sebanyak RM230 juta.

 

Mengulas lanjut, CGS-CIMB Research memberitahu, pembelian yang dibuat Westports itu bertujuan untuk mengembangkan perniagaan terminal pelayaran serta meneroka aktiviti sampingan lain.

 

"Kami menjangkakan Westports akan memberi ulasan lebih lanjut mengenai rancangan jangka panjangnnya dalam taklimat hari ini," jelas CGS-CIMB Research. - DagangNews.com