WhatsApp miliki pengguna media sosial tertinggi 13.8 juta orang di Malaysia pada 2020 - DOSM | DagangNews Skip to main content

WhatsApp miliki pengguna media sosial tertinggi 13.8 juta orang di Malaysia pada 2020 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Sept - WhatsApp menjadi aplikasi paling popular dengan pengguna 86.5% daripada semua jenis media sosial atau 13.8 juta orang, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Banci Malaysia 2020 memuatkan soalan tentang enam platform media sosial iaitu Facebook, WhatsApp, Instagram, X (dahulunya dikenali sebagai Twitter), LinkedIn dan Telegram yang dianggap sebagai platform paling biasa digunakan oleh 24.7 juta rakyat Malaysia berumur 15 tahun dan lebih. 

 

Daripada jumlah ini, 16 juta orang (64.7%) telah menjawab soalan mengenai akaun media sosial. Bilangan pengguna yang dilaporkan adalah berdasarkan bilangan penduduk, tanpa mengira berbilang akaun media sosial yang dimiliki oleh individu.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, dua pertiga daripada responden iaitu 77.1% kepada 12.3 juta menggunakan Facebook, diikuti oleh 39.2% (6.3 juta orang) menggunakan Instagram. 

 

Katanya, peratusan lebih kecil bagi responden yang menggunakan Telegram (23.2%; 3.7 juta orang), X (11.7%; 1.9 juta orang), LinkedIn (4.8%; 0.8 juta orang) dan lain-lain (1.5%; 0.2 juta orang).

 

"Satu pertiga daripada pengguna WhatsApp (36.7%) menetap di tiga negeri iaitu Selangor (14.1%), Johor (13.1%) dan Perak (9.5%). Negeri yang sama juga merupakan pengguna Facebook, Instagram dan Telegram yang paling ramai. 

 

"Majoriti pengguna X berada di negeri maju iaitu Selangor, Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, manakala pengguna LinkedIn lebih ramai di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. 

 

 

DOSM
Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin

 

 

"Johor Bahru mempunyai pengguna WhatsApp tertinggi (695,998) dan Facebook (626,166) di peringkat daerah. Manakala Petaling, Selangor mempunyai pengguna Instagram (354,211) dan X (128,354) paling ramai," katanya dalam kenyataan media Penerbitan Banci Malaysia 2020: Kesejahteraan Penduduk (Hubungan Sosial) di sini hari ini.

 

Menurut Mohd Uzir, lelaki melebihi bilangan wanita dalam Facebook (51.5%), WhatsApp (51.6%) dan Linkedln (51.9%), manakala wanita lebih cenderung menggunakan Instagram (52.9%), X (52.1%) dan Telegram (51.9%). 

 

Katanya,pPenggunaan WhatsApp adalah lebih ramai dalam kalangan individu dari semua peringkat umur (15 hingga 64 tahun; 65 tahun ke atas) dan kumpulan etnik (Bumiputera, Cina, India dan lain-lain).

 

Sementara itu, tujuh kaedah capaian internet yang disenaraikan dalam Banci Malaysia 2020 ialah rumah, tempat bekerja, rumah orang lain, kemudahan akses internet percuma, kemudahan akses internet komuniti, pusat pendidikan dan data mudah alih. 

 

Sejumlah 11.8 juta rakyat Malaysia menggunakan data mudah alih secara meluas sebagai mod kebolehcapaian internet di negara ini, yang mana ia merujuk kepada seseorang yang menggunakan telefon pintar sebagai cara utama bagi akses internet. 

 

Penemuan menunjukkan 13.6 juta (55.3%) daripada 24.7 juta penduduk berumur 15 tahun dan lebih telah memberi respons.

 

Akses internet di rumah adalah yang kedua paling diutamakan dalam kalangan rakyat Malaysia dengan jumlah 5.3 juta pengguna dan diikuti dengan tempat bekerja (2.6 juta orang), kemudahan akses internet percuma (0.8 juta orang), pusat pendidikan (0.7 juta orang), rumah orang lain (0.5 juta orang) dan kemudahan akses internet komuniti (0.4 juta orang).

 

Satu pertiga (34.4%) pengguna data mudah alih berada di Johor (12.4%), Selangor (11.7%) dan Perak (10.3%). Johor Bahru, Johor; Petaling, Selangor; dan Kinta, Perak mencatatkan kadar pengguna data mudah alih paling ramai. 

 

Manakala Johor Bahru, Johor; Petaling dan Hulu Langat, Selangor menduduki tempat teratas untuk mod akses kepada internet selain data mudah allih.

 

Lelaki adalah pengguna utama akses internet melalui data mudah alih (6.1 juta orang), kemudahan dengan akses internet percuma (0.4 juta orang), rumah orang lain (0.3 juta orang) dan kemudahan akses internet komuniti (0.2 juta orang). 

 

Sementara itu, wanita lebih ramai daripada lelaki bagi akses internet di rumah (2.7 juta orang) dan pusat pendidikan (0.4 juta orang). - DagangNews.com