Widad beli 6 unit Simulator Payung Terjun bagi mengurangkan kos sektor ketenteraan | DagangNews Skip to main content

Widad beli 6 unit Simulator Payung Terjun bagi mengurangkan kos sektor ketenteraan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Mac - Widad Business Group Sdn. Bhd. (WBG) membeli enam unit Simulator Payung Terjun daripada pemaju sistem ketenteraan terbesar Turki, HAVELSAN Hava Elektronik Sanayi ve Ticaret A.S. bagi membantu menjimatkan kos dalam sektor ketenteraan.

 

Pembelian itu dibuat selepas Widad mengadakan kerjasama dengan HAVELSAN yang ditubuhkan 1982 sebagai ahli gabungan Yayasan Angkatan Tentera Turki dalam membangunkan sistem ketenteraan, awam dan swasta selain menyediakan penyelesaian dan produk intensif perisian dalam bidang pertahanan, simulasi, ICT dan keselamatan siber dalam negeri. 

 

Selain menawarkan latihan kepada pengguna dalam persekitaran yang boleh berulang dan selamat dalam masa yang singkat, cirinya seperti pangkalan data resolusi tinggi dan realiti maya membolehkan kemahiran penting dibangunkan dalam masa nyata di bawah pelbagai keadaan cuaca, kecemasan serta keadaan angin.

 

Ini meningkatkan prestasi sebenar penggunanya dan menyumbang kepada penggunaan sumber yang lebih cekap dengan mengurangkan bilangan terjunan sebenar dari pesawat.

 

Selain tentera, Simulator Payung Terjun HAVELSAN juga boleh digunakan untuk tujuan awam, bomba, pasukan polis dan sebagainya.

 

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Cham Nong Aliap berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan HAVELSAN dan membawa kepakaran salah satu firma terkemuka dunia dalam bidang ini ke Malaysia. 

 

payung

 

Beliau berkata, terdapat perkhidmatan hebat dan peluang mengurangkan kos untuk negara, khususnya mengenai kos pesawat dan logistik latihan pasukan payung terjun yang lazimnya melibatkan pengangkutan.

 

"Mengikut anggaran awal kami, penggunaan sistem sedemikian akan dapat mencapai penjimatan kos yang ketara untuk latihan dalam sektor pertahanan Malaysia.

 

payung

 

"Ini hanyalah fasa pertama kerjasama kami dan HAVELSAN mempunyai beberapa sistem lain yang dijangka boleh memberi manfaat kepada kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengurus Besar HAVELSAN, Dr. Mehmet Akif Nacar berkata, pihaknya aktif mengikuti pelbagai projek dalam sektor ketenteraan, awam dan swasta Malaysia, malah menubuhkan Pejabat Wilayah di Kuala Lumpur. 

 

"Malaysia merupakan hab penting untuk HAVELSAN di rantau Asia Tenggara, oleh itu kami berbesar hati telah menemui WBG rakan kongsi yang boleh dipercayai untuk meluaskan jangkauan kami dan meningkatkan hubungan kami di negara ini," katanya. - DagangNews.com