Widad teroka kerjasama dalam bidang sains bio-regeneratif, sasar jadikan Langkawi sebagai destinasi kesihatan di Asia | DagangNews Skip to main content

Widad teroka kerjasama dalam bidang sains bio-regeneratif, sasar jadikan Langkawi sebagai destinasi kesihatan di Asia

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Widad Business Group Sdn. Bhd. (WBG) kini melebarkan sayap dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi sains bio-regeneratif yang seterusnya turut menawarkan sijil pengajian tinggi dalam bidang tersebut.

 

Ini menyaksikan WBG melalui anak syarikat milik penuhnya, Widad Education Sdn. Bhd. (WESB) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan EW European Wellness International GMBH (EW Group).

 

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Widad Business Group, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah berkata, kerjasama itu adalah selaras dengan matlamat kumpulan untuk menyepadukan industri kesihatan dalam pembangunan. 

 

Katanya, EW Group dan WBG percaya bahawa kerjasama itu akan dapat memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang dengan membekalkan profesional terlatih dan perkhidmatan berdedikasi. 

 

"Memandangkan industri kesihatan bernilai AS$4.4 trilion di seluruh dunia pada 2020 dengan unjuran purata pertumbuhan tahunan 9.9%, kerjasama ini dilihat amat positif oleh WBG.

 

"Ini juga merupakan satu lagi peluang untuk kami mempelbagaikan minat perniagaan kami di rantau ini dengan belajar daripada pakar," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

widad
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Widad Business Group, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah (berdiri, tengah) dan Pengarah Urusan Widad Group Bhd., Dr Mohd. Rizal Mohd. Jaafar (berdiri, tiga dari kanan) menyaksikan majis menandatangani perjanjian persefahaman antara Widad Education Sdn. Bhd. dan European Wellness International GMBH.

 

 

Melalui kerjasama ini, EW Group akan menyumbang pengetahuan dan kepakaran mereka melalui struktur silibus, makmal dan latihan kepada pensyarah. 

 

Sementara itu, WESB melalui Widad University College akan menyediakan kemudahan pembelajaran serta bantuan untuk mendapatkan pensijilan dan akreditasi rasmi bagi kursus tersebut. 

 

Kerjasama itu akan merangkumi kursus jangka pendek, program prasiswazah dan pascasiswazah dalam bidang sains bio-regeneratif.

 

Usaha itu juga akan seiring dengan matlamat WBG untuk menubuhkan Hab Kesejahteraan dalam Projek Widad Langkasuka yang akan datang, di Langkawi. 

 

WBG juga berhasrat untuk membangunkan hab pendidikan yang akan merangkumi kampus utama baharu untuk Kolej Universiti Widad. 

 

Malah, WBG percaya kerjasama itu akan memperkukuh langkah pertamanya ke arah menjadikan Langkawi sebagai destinasi kesihatan di Asia.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kanan Pendidikan Widad, Datuk Dr. Nasir Mat Dam berkata, kerjasama tersebut merupakan peluang yang baik untuk Widad kerana ia membuka pintu baharu dalam mengembangkan lagi penyelidikan dan pembangunan rawatan regeneratif serta penyelidikan kesihatan. 

 

Katanya, ia akan membantu kumpulan untuk membangunkan pengkhususan lanjut dalam program prasiswazah dan pascasiswazah dengan pengenalan kursus berkaitan perubatan regeneratif seperti teknologi Bioperubatan dan Terapi Kesejahteraan Perubatan Integratif Holistik.

 

“Seterusnya, ia juga akan membuka peluang baharu kepada generasi muda untuk meneruskan industri baharu muncul dan memenuhi permintaan pasaran masa hadapan," jelasnya. - DagangNews.com