KUALA LUMPUR 20 Julai - Institut Pengurusan Wanita (WIM) akan menampilkan kisah kepemimpinan lebih daripada 30 wanita di peringkat global dan menerusi pelancaran buku bertajuk Steel Gradenias: Women Leadership The Malaysia dan Global Perspective pada 23 Ogos 2022.
Pengasas Bersama dan Timbalan Pengerusi WIM, Datuk Dr. Nellie S. L. Tan Wong berkata, buku yang setebal 432 halaman itu bukan sahaja akan menampilkan kisah-kisah positif pemimpin wanita dari seluruh dunia tetapi juga menyerlahkan sisi gelap sesetengah pemimpin di peringkat global.
Katanya, antara mereka yang diketengahkan dalam buku itu termasuk Greta Thunberg (aktivis alam sekitar Sweden), Peng Liyuan (penyanyi soprano China), Sri Mulyani Indrawati (bekas Menteri Kewangan Indonesia), Jill Biden (Wanita Pertama Amerika Syarikat), Ho Ching (ahli perniagaan Singapura) dan Yuriko Koike (Gabenor Tokyo).
"Selain pemimpin wanita barat, buku ini juga menampilkan kisah mengenai pemimpin Malaysia seperti Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Tan Sri Siti Normah Yaakob, Prof. Emerita Datuk Seri Dr. Mazlan Othman, Yeo Bee Yin dan sebagainya.
"Di negara barat, wanita yang kuat digelar Steel Magnolias tetapi di Malaysia kita tidak memiliki bunga magnolia, jadi saya mengambil keputusan untuk memberi gelaran Steel Gradenias atau Bunga Kembang Cina (Melur Cina)," katanya dalam satu sidang akhbar di Bangunan WIM, di sini hari ini.
Buku itu dihasilkan oleh Nellie semasa Malaysia menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa musim pandemik COVID-19 dan beliau menghabiskan masa setahun setengah untuk menyiapkan buku itu.
Hasil penulisan itu turut mengetengahkan kisah wanita bekerjaya dalam bidang profesional seperti arkitek, akauntan, doktor, jurutera, peguam, pendidik dan saintis.
Nellie berkata, selain buku itu, WIM juga sudah menghasilkan lebih daripada 20 buku dan jurnal perniagaan yang bertajuk Inspire yang diterbitkan dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil.
Beliau berkata, mereka sudah menghasilkan 49 jurnal untuk kegunaan usahawan, pekerja profesional dan pekerja sosial. - DagangNews.com