KUALA LUMPUR 12 Okt - Wonda Coffee melancarkan semula rangkaian Wonda Extra Shot, menerusi kerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi memperkasakan peminat dan pasukan bola sepak Harimau Malaya.
Ciptaan bersama rangkaian Wonda Extra Shot itu menampilkan rupa tin unik terbaharu khas Harimau Malaya.
Pelancaran semula ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif Wonda Coffee sebagai rakan jenama untuk meningkatkan lagi sokongan mereka terhadap pasukan bola sepak negara yang bakal bersaing di Piala Asia 2023 Qatar.
Naib Presiden Pemasaran Etika, Amy Gan berkata, kerjasama dengan FAM merupakan satu perjalanan baharu dalam perjalanan Wonda Coffee, yang mana semangat mereka untuk menyemarakkan sukan bola sepak serta dedikasi pihak FAM bagi memupuk kecemerlangan skuad negara.
"Kami percaya tenaga, semangat, dan minat bersama yang dibawa menerusi kopi ini akan menjadi penggerak di sebalik setiap sorakan, gol, dan kejayaan bagi mengukuhkan lagi impian bersama kami untuk melihat Harimau Malaya tercinta menggapai kejayaan di pentas global.
"Biar apa pun cara yang dilakukan bagi menyokong pasukan bola sepak negara, kita memerlukan kekuatan yang luar biasa untuk meneruskan perjuangan, dan ini sememangnya mencerminkan intipati identiti Wonda Extra Shot yang memberikan rangsangan tambahan untuk terus maju," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin pula berkata, pelancaran semula Wonda Extra Shot bukan sahaja mencerminkan komitmen Wonda Coffee kepada dunia bola sepak Malaysia, tetapi turut menggariskan matlamat bersama untuk menyatukan negara melalui sukan ini.
"Kami berhasrat untuk memperkasakan peminat bagi menjadi sumber tenaga Harimau Malaya dan menyumbang kepada kejayaan kami di pentas antarabangsa. Kerjasama ini adalah bukti sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada peminat kami, dan kami menantikan masa depan yang penuh dengan kejayaan bersama-sama dengan Wonda Coffee," katanya.
Tin kopi baharu bagi Wonda Extra Shot dilancarkan semula menjelang kejohanan Pestabola Merdeka 2023 yang akan berlangsung dari 13 hingga 17 Oktober ini.
Wonda Extra Shot ditawarkan dalam dua pilihan perisa, Kopi hitam dan Kopi Susu. Ia menawarkan kopi dua kali ganda lebih kuat berbanding daripada pilihan kopi tin biasa.
Bagi menyokong Pestabola Merdeka dan perjalanan pasukan kebangsaan ke Qatar, kopi Wonda Extra Shot edisi khas boleh didapati di kebanyakan kedai runcit di seluruh negara.
Wonda dan FAM juga akan mengumumkan pelbagai aktiviti bersama bagi memperkasakan bola sepak tempatan pada masa akan datang. - DagangNews.com