Wong Engineering catat rugi bersih RM839,000 pada 3QFY23 kesan kelemahan permintaan dalam sektor semikonduktor | DagangNews Skip to main content

Wong Engineering catat rugi bersih RM839,000 pada 3QFY23 kesan kelemahan permintaan dalam sektor semikonduktor

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Sept - Wong Engineering Corporation Berhad mencatatkan rugi bersih sebanyak RM839,000 bagi suku ketiga berakhir 31 Julai 2023 (3QFY23) berbanding untung bersih RM1.3 juta setahun lalu.

 

Kumpulan itu berkata, hasil kumpulan susut sebanyak 37% kepada RM11.9 juta berbanding RM19.01 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2022 (3QFY22).

 

Katanya, hasil yang lebih rendah itu didorong oleh sumbangan jualan yang lebih lemah daripada kejuruteraan ketepatan disebabkan oleh permintaan yang lemah daripada pelanggan dalam sektor semikonduktor.

 

"Kerugian kumpulan ini disebabkan oleh sumbangan jualan yang lebih lemah dan penggunaan kilang yang lebih rendah daripada kejuruteraan ketepatan selain daripada kos buruh dan pengurusan yang lebih tinggi," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Mengulas mengenai prospek kumpulan, syarikat itu berkata, aktiviti ekonomi dan perdagangan global dijangka kekal perlahan akibat kelemahan permintaan dan aliran masuk pesanan baharu dalam tempoh terdekat.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu kekal optimis namun tetap berhati-hati dan menjangkakan pemulihan yang lebih teguh berikutan kehabisan inventori pelanggan.

 

"Kumpulan itu  komited menggiatkan usaha bagi pertumbuhan hasil melalui pengembangan asas pelanggan sementara pembinaan kilang baharu merangkap gudang di Lot 25 bersebelahan sedang berjalan dengan baik.

 

"Kumpulan itu akan meningkatkan kecekapan operasi dan langkah kawalan kos yang berhemah dan kekal berhati-hati terhadap prospek global yang tidak menentu serta ketidakstabilan pasaran semikonduktor," katanya. - DagangNews.com