WorqApp berjaya kumpul AS$1 juta modal permulaan bagi lancarkan Super App Pelaksanaan Perusahaan | DagangNews Skip to main content

WorqApp berjaya kumpul AS$1 juta modal permulaan bagi lancarkan Super App Pelaksanaan Perusahaan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Jan - WorqApp iaitu platform pelaksanaan perusahaan yang dimiliki syarikat pemula tempatan, Nib Technologies Sdn. Bhd (NibTech) berjaya mengumpul modal Pusingan Pra Permulaan bernilai AS$1 juta (RM4.39 juta)  bersama gabungan pelabur Malaysia dan antarabangsa bagi melancarkan Super App Pelaksanaan Perusahaan.

 

Pengarah Urusan Megadeals Invest dan Pengerusi WorqApp, Jonas Lind berkata, berinteraksi dalam dunia hari ini adalah lebih mudah berbanding sebelum ini, namun jurang antara strategi dan pelaksanaan semakin melebar.

 

Beliau berkata, jurang itu amat ketara dalam syarikat besar dan dalam syarikat pemula yang berkembang pesat.

 

"Syarikat yang berjaya menutup jurang ini akan melihat impak yang besar terhadap prestasi kewangan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Walaupun dalam tempoh COVID-19 yang mencabar, syarikat itu berjaya mencapai kemajuan yang berterusan sejak penubuhannya.

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif WorqApp, Hassan Mehmood berkata, antara faktor faktor kejayaan utama platform itu ialah pendekatan ‘semua-dalam-satu’.

 

Katanya, semua pihak boleh memikirkan aplikasi super seperti Grab atau Wechat untuk urusan sosial atau aspek yang berkaitan dengan gaya hidup tetapi tiada untuk pelaksanaan berkesan di tempat kerja.

 

"Pendekatan WorqApp mengurangkan kos untuk pelanggan kami dan membolehkan pemimpin menggunakan satu platform digital untuk pelaksanaan yang berkesan," katanya.

 

Mengulas mengenai rancangan pengembangan, Hassan mendedahkan bahawa dalam tempoh kurang sebulan pra pelancarannya, pihaknya berjaya mendapatkan pelanggan dari Malaysia, Asia Barat dan Eropah.

 

"WorqApp merupakan produk yang mengutamakan pelanggan dan kami mempunyai matlamat untuk membantu lebih daripada 1,000 organisasi dengan pelaksanaan berkesan dalam tempoh tiga tahun akan datang," katanya. - DagangNews.com