Wujudkan 600,000 peluang pekerjaan - tumpuan utama kerajaan tahun 2022 | DagangNews Skip to main content

Wujudkan 600,000 peluang pekerjaan - tumpuan utama kerajaan tahun 2022


PUTRAJAYA 31 Dis - Antara tumpuan utama Kerajaan pada tahun 2022 adalah untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 600,000 peluang pekerjaan baharu di samping pemulihan segera sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri.

 

Menurutnya, Kerajaan akan merancakkan pemulihan ekonomi dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif yang telah diumumkan di dalam dokumen RMK-12 dan Bajet 2022 untuk memastikan ketahanan ekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

 

''Tahun 2022 juga adalah tahun untuk Malaysia kembali ke landasan bagi menetapkan pelan ekonomi negara jangka masa panjang,,'' kata Perdana Menteri dalam perutusan khas sempena Tahun Baharu 2022 malam ini.  


 

PM
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri menyampaikan perutusan khas sempena sambutan Tahun Baru 2022 pada 31 Disember 2021.

 


Katanya, beberapa tema mustahak perlu digerakkan pada tahun 2022. Antaranya ialah pemerkasaan ekonomi digital sejajar dengan tuntutan realiti semasa. 

 

''Atas kesedaran sama tentang perlunya mengadaptasi kepada keperluan kini dan masa depan, Malaysia juga telah memberikan komitmen bagi mencapai status “carbon-neutral nation” pada tahun 2050.

 

''Transformasi ke arah ekonomi dan masyarakat yang cakna terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (atau ESG) memerlukan peralihan dalam pelbagai aspek pengurusan, pentadbiran dan kerangka minda dalam pembuatan dasar,'' ujarnya. 

 

Misalnya kata beliau, dalam soal peluang pekerjaan yang bakal dijana, Malaysia perlu bersedia untuk mewujudkan satu ekosistem yang mampu menjana aktiviti-aktiviti dan pasaran pekerjaan  yang selari dengan tuntutan dan keperluan ke arah ekonomi dan masyarakat yang mesra ESG.

 

''Ini merupakan antara inisiatif yang saya anggap penting mengambil inspirasi suara anak-anak muda Keluarga Malaysia untuk kita mewariskan sebuah negara lestari kepada generasi akan datang.

 

''Justeru, Sistem pendidikan sedia ada akan disesuaikan agar lebih menjurus kepada aspek ESG ini. Di sinilah kurikulum Pendidikan TVET khususnya perlu ditambah baik untuk memenuhi keperluan pekerjaan masa hadapan ini,'' ujar Perdana Menteri.


Dari sudut yang berbeza pula kata beliau, aspirasi ESG ini juga memerlukan keberanian pihak kerajaan untuk mewujudkan rangka dasar dan insentif yang lebih kondusif.

 

''Atas sebab itulah, antara insentif yang membuktikan Kerajaan komited dengan agenda ini ialah pengecualian sepenuhnya ke atas duti import, duti eksais, cukai jualan malahan cukai jalan bagi kenderaan elektrik (atau EV). 

 

''Kerajaan juga sedar, dalam mencapai matlamat ini, ekosistem sokongan seperti infrastruktur bagi kenderaan elektrik (EV) perlu dibangunkan dan dipertingkatkan seperti di negara maju,'' kata Ismail Sabri. - DagangNews.com