Wujudkan Program Khas untuk bantu pelajar keciciran akibat COVID-19 - Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

Wujudkan Program Khas untuk bantu pelajar keciciran akibat COVID-19 - Muhyiddin

 

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Nov - Kerajaan dicadangkan untuk mewujudkan Program Khas (Catch Up) di peringkat nasional bagi membantu pelajar sekolah atau Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang kecicirian sepanjang tempoh pandemik COVID-19 sama ada melalui cara hybrid atau bersemuka mengikut kesesuaian pihak terlibat

 

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, di bawah program itu, pihak sekolah perlu mengenal pasti pelajar yang tertinggal untuk diberi tumpuan mengikuti kelas intensif bagi menggilap semula pembelajaran mereka dan memupuk semangat untuk mencatat keputusan yang baik dalam pelajaran.

 

"Untuk menjayakan program ini, pihak guru dan sekolah perlu diberikan sokongan seperti penyediaan kemudahan peranti, gajet dan internet serta sokongan moral yang kukuh untuk menangani masalah pelajar yang ketinggalan.

 

"Kelas secara online atau PDPR berjalan sepanjang tempoh sekolah ditutup, namun kita tidak boleh menutup sebelah mata bahawa ada dalam kalangan pelajar yang ketinggalan dan tertinggal terutamanya mereka di pedalaman yang tiada akses kepada internet, malah golongan miskin bandar yang tiada gajet yang sesuai untuk belajar secara online. Justeru, kerajaan perlu meneliti dan menangani isu-isu pokok seperti ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sektor pendidikan menerima peruntukan terbesar dalam Bajet 2022 iaitu sebanyak RM67.1 bilion atau sekitar 20 peratus daripada keseluruhan jumlah belanjawan dan ia meliputi RM52.6 bilion untuk Kementerian Pendidikan serta RM14.5 bilion lagi untuk Kementerian Pengajian Tinggi.

 

Muhyiddin juga mencadangkan agar satu mekanisme diwujudkan untuk menstruktur semula semua jenis bantuan yang diberikan dengan mewujudkan sistem pengurusan bantuan yang bersifat end-to-end process dan automatik yang membolehkan bantuan dimasukkan ke akaun penerima bantuan dalam kadar segera sekiranya berlaku bencana, musibah, kehilangan kerja atau jatuh di bawah kategori miskin tegar.

 

Dalam pada sama katanya, kerajaan perlu mewujudkan dasar graduasi bantuan atau Exit Policy bagi membolehkan penerima dibantu dalam jangka masa tertentu sehingga mereka mampu berdikari dan tidak bergantung kepada bantuan dalam tempoh yang agak lama.

 

"Seiring perubahan landskap pekerjaan, saya berharap kerajaan dapat memberi penekanan terhadap bidang-bidang kemahiran baharu dalam usaha melahirkan pekerja berkemahiran tinggi terutama yang berteraskan transformasi digital. 

 

"Dalam hal ini, penglibatan agensi seperti HRD Corp. dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) perlu ditingkatkan selain penyediaan latihan reskilling dan upskilling yang komprehensif.

 

"Inisiatif ini perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen agar ia dapat memberi impak positif terutamanya bagi kumpulan yang paling terkesan seperti belia, siswazah menganggur dan pekerja yang hilang punca pendapatan sepanjang pandemik. Mereka ini mesti dibantu," katanya.-DagangNews.com