Xperanti, EdgePoint Infrastructure bekerjasama realisasi impian Bandar Pintar Pulau Pinang | DagangNews Skip to main content

Xperanti, EdgePoint Infrastructure bekerjasama realisasi impian Bandar Pintar Pulau Pinang

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Sept - Xperanti IoT Sdn. Bhd. bekerjasama dengan EdgePoint Infrastructure untuk meneroka peluang perniagaan bersama bagi memainkan peranan merealisasikan impian Bandar Pintar Pulau Pinang.

 

Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, kedua-dua pihak berpeluang melanjutkan perkongsian bersama mengenai Aplikasi Tempat Letak Kereta Pulau Pinang bagi menyepadukan teknologi Internet Kebendaan (IoT) pada masa hadapan seperti penyelesaian pemantauan banjir, pemantauan kualiti udara dan penyelesaian pemuliharaan tenaga.

 

Aplikasi Tempat Letak Kereta Pulau Pinang beroperasi sepenuhnya pada rangkaian Sigfox, digunakan di 36,000 tapak di seluruh Pulau Pinang.

 

Dengan Pulau Pinang sebagai perintis dalam ruang ini, inisiatif ini akan meneruskan kerjasama erat dengan Kerajaan Pulau Pinang sebagai pihak berkepentingan utama dalam memastikan penyelesaian yang selamat dan menjimatkan perbelanjaan majlis tempatan dalam usaha pengurusan bandar lebih baik.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Xperanti, Prashant Pathmanaban berkata, IoT menawarkan penyelesaian terbaik kepada majlis perbandaran seperti pengesanan ketersediaan tempat letak kereta, pergerakan trafik dan paras air bersama-sama aplikasi pemuliharaan tenaga di seluruh bandar melalui pemantauan masa nyata.

 

"Bagi mengkuhkan penawaran nilai, penyelesaian yang digunakan akan menjimatkan kos kepada majlis tempatan dan paling penting memastikan orang ramai mendapat maklumat terkini merentasi pelbagai bidang keselamatan awam yang terdapat di dalam aplikasi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kerjasama itu juga membolehkan sokongan dan pertumbuhan perkhidmatan di Pulau Pinang dengan tumpuan pada infrastruktur pintar, perniagaan dan inovasi untuk masa hadapan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif EdgePoint Towers Sdn. Bhd., Muniff Kamaruddin berkata, selaras dengan matlamat mereka menjadi penyedia infrastruktur digital dan telekomunikasi, kerjasama itu membolehkan mereka mengembangkan lagi skop penyediaan mereka.

 

"Kami akan terus memberi fokus dalam memacu kedudukan industri melalui penyediaan penyelesaian infrastruktur yang inovatif, diperkukuh dengan analitik dan teknologi digital yang disesuaikan dengan landskap yang sentiasa berubah-ubah," katanya. - DagangNews.com