KUALA LUMPUR 31 Jan - AEON CO. (M) BHD. (AEON) menerusi Yayasan AEON Malaysia dengan kerjasama 8TV berjaya mengumpul sebanyak RM45,778.00 menerusi jualan amal dalam talian bagi berkongsi kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina dengan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.
Dana terkumpul digunakan bagi membeli barangan keperluan untuk dua buah rumah, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan OKU Mesra di Petaling Jaya dan Rumah Orang Tua Seri Kembangan di Seri Kembangan, Selangor.
Pada 17 Januari lepas, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan OKU Mesra menerima sumbangan bahagian pertama terdiri daripada barangan keperluan harian dan rawatan serta perabot rumah.
Timbalan Pengarah Urusan AEON, Tsutomu Motomura berkata, projek ini dijalankan dengan jaya menerusi kesungguhan daripada Team 8TV, AEON Warriors, rakan-rakan AEON, Yayasan AEON Malaysia dan para pelanggan.
"Kami berterima kasih kepada para pelanggan AEON yang menyokong penuh projek amal ini menerusi pembelian dalam talian. Ia sebahagian daripada kemampanan sosial yang dilakukan atas dasar keprihatinan terhadap komuniti bagi memastikan tiada sesiapa ketinggalan dalam menyambut Tahun Baru Cina.
“Semoga tahun harimau membawa kemakmuran dan kesejahteraan untuk kita semua. Semasa meraikan kedatangannya, sila terus patuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 27 Januari lalu, sebanyak 20 penghuni Rumah Orang Tua Seri Kembangan turut menerima sumbangan terdiri daripada barangan keperluan harian, kesihatan dan angpau, termasuk dihidangkan bubur istimewa daripada AEON Delicatessen.
Presiden Yayasan AEON Malaysia, Datin Noryahwati Mohd. Noh pula berkata, pihaknya bersyukur berkongsi kegembiraan sambutan Tahun Baru Cina di pusat kebajikan tersebut.
"Kami berharap hasil kolaborasi inisiatif sosial dapat membantu mengurangkan kos operasi rumah ini. Yayasan ditubuhkan pada 2004 dan menyumbang lebih RM15 juta dalam pelaksanaan pelbagai program kemasyarakatan.
"Yayasan berusaha membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama," katanya. - DagangNews.com