Yayasan AEON Malaysia teruskan AEON Bersamamu bantu rakyat terkesan semasa COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Yayasan AEON Malaysia teruskan AEON Bersamamu bantu rakyat terkesan semasa COVID-19


KUALA LUMPUR 7 Julai – Yayasan AEON Malaysia (Malaysian AEON Foundation atau MAF) terus melangkah ke hadapan dengan program kemasyarakatan AEON Bersamamu dalam memenuhi misi membantu golongan yang memerlukan, khususnya ketika negara berhadapan dengan penularan pandemik COVID-19.

 

AEON Bersamamu merupakan salah satu daripada pelbagai program bantuan kemasyarakatan yang telah dilaksanakan oleh MAF di seluruh negara. Dilancarkan pada 1 Februari 2021, AEON Bersamamu bertujuan untuk membantu meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga-keluarga yang kehilangan punca pendapatan ekoran daripada pandemik yang melanda.

 

Bantuan barangan makanan asas yang disumbangkan MAF menerusi AEON Bersamamu adalah usaha sokongan untuk kesejahteraan kehidupan mereka yang terkesan dalam menghadapi keadaan ekonomi getir.

 

Menerusi AEON Bersamamu, MAF sehingga kini telah menyentuh kehidupan dan memberikan harapan kepada 2,700 keluarga, dimana pencari nafkah utama pernah berkecimpung di dalam industri karya kreatif (KARYAWAN), penerbangan serta perhotelan.

 

Punca pendapatan mereka terjejas teruk lantas sokongan yang dihulurkan. MAF telah membelanjakan RM700,000 dalam pengaktifan AEON Bersamamu sehingga kini. 

 

Susulan pengumuman pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) – SOP Fasa 1 oleh Kerajaan baru-baru ini, dalam usaha mendatarkan keluk pandemik dan mencapai nilai ambang yang ditetapkan, dijangka lebih ramai lagi yang akan turut terkesan daripada situasi ini.

 

Presiden MAF, Datin Noryahwati Mohd Noh berkata, “Sehubungan dengan itu, Yayasan AEON Malaysia melebarkan sayapnya untuk terus membantu mereka yang memerlukan, menerusi kolaborasi dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO). Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk menyokong kesejahteraan komuniti. AEON Bersamamu akan diteruskan menerusi inisiatif kelestarian komuniti Sayap Bagimu.

 

“Menerusi program ini, untuk Fasa 1, Yayasan AEON Malaysia akan menyumbang 1,000 kotak barangan makanan asas bernilai RM100 setiap satu. Seterusnya, pada Fasa 2, akan terdapat penambahan 2,000 kotak lagi bekalan makanan asas yang bernilai RM100 setiap satu yang akan disalurkan kepada keluarga yang memerlukan.

 

Presiden MAF, Datin Noryahwati Mohd Noh
Presiden MAF, Datin Noryahwati Mohd Noh

 

“Yayasan AEON Malaysia sangat komited dalam menjayakan AEON Bersamamu di bawah inisiatif kelestarian komuniti Sayap Bagimu dengan peruntukan berjumlah RM300,000. Kami sentiasa fokus untuk menjaga kesejahteraan dan pembangunan komuniti di dalam ekosistem kami.

 

"Sesungguhnya, ramai di antara kita yang terkesan akibat pandemik ini dan kami amat bersyukur kerana dapat membantu. Adalah harapan kami, bantuan ini membawa keceriaan dan harapan kepada mereka,” ujar Noryahwati.

 

Program bantuan kemasyarakatan AEON Bersamamu menerusi inisiatif kelestarian komuniti Sayap Bagimu menyasarkan sumbangan kepada 3,000 keluarga di seluruh negara.

 

Orang ramai dijemput menyokong program ini dengan berkongsi rezeki untuk kelestarian komuniti. Kepada yang berminat untuk meringankan beban mereka yang memerlukan, sila layari www.aeonfoundation.my hari ini. - DagangNews.com