Yayasan Hasanah agih geran RM1.4 juta kepada industri kreatif | DagangNews Skip to main content

Yayasan Hasanah agih geran RM1.4 juta kepada industri kreatif

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

[email protected]

 

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Yayasan Hasanah mengumumkan pemberian geran bernilai RM1.4 juta kepada 21 organisasi seni, budaya dan warisan menerusi inisiatif Arts for All Seasons (ArtsFAS) dalam usahanya menyokong ekonomi industri kreatif negara.

 

Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Dato' Shahira Ahmed Bazari, berkata, sebanyak 1,355 pengamal seni, budaya dan warisan dijangka memperoleh manfaat melalui program ArtsFAS yang pertama kali dilaksanakan bagi meningkatan peluang ekonomi disamping memberikan pengalaman seni dan budaya kepada rakyat Malaysia.

 

"Seni tidak boleh berhenti biarpun berhadapan dengan pandemik. Kami ingin menjemput rakyat Malaysia untuk menyokong dan menghargai seni dan warisan budaya dan pada masa yang sama menyokong komuniti artis kami dan barisan hadapan industri kreatif melalui ArtsFAS," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Menurut Shahira, ArtsFAS akan merangkumi bentuk seni masyarakat setempat yang bertujuan untuk mengekalkan ekspresi kreatif tradisional.

 

Ujarnya, sejumlah 31 pertunjukan, produksi teater, bengkel, forum akademik, pameran, webinar, persembahan, perbincangan kritikal dan acara lain akan diatur di Kuala Lumpur, Sabah, Pulau Pinang, Melaka dan Langkawi pada Oktober dan Disember akan datang untuk semua lapisan masyarakat.

 

"Ini adalah antara insiatif untuk memartabatkan pelbagai seni, warisan dan budaya moden dan tradisional. Melalui teknologi, pertukaran pengetahuan dan acara, kita dapat meningkatkan kesedaran dan pendidikan yang lebih baik mengenai pelbagai bentuk seni di Malaysia terutamanya untuk memberi inspirasi kepada generasi muda

 

"Terdapat juga wacana intelektual dan webinar akademik mengenai fakulti kreatif dan budaya," ujarnya.

 

Tambah Shahira, Yayasan Hasanah akanturut bekerjasama dengan beberapa pihak dalam tempoh terdekat, untuk menghidupkan semula sektor kreatif.


Awal tahun ini, Yayasan Hasanah mengumumkan bahawa ia akan menyokong bakat-bakat kreatif untuk menerima geran pembiayaan projek bernilai sehingga RM250,000 melalui ArtsFAS.


Geran tersebut ini membolehkan para artis dan karyawan menggerakkan projek mereka, sambil memberikan jalan tambahan untuk menampilkan bakat kreatif dan karya mereka melalui tayangan perdana dalam talian dan siaran langsung interaktif serta sesi di lokasi. - DagangNews.com